Khamis, 21 Januari 2016 | 11:03am

GPMS minta pemberian bas sekolah percuma

KLANG: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta kerajaan meneliti pemberian bas percuma kepada pelajar terutama di kawasan luar bandar.

Presidennya, Zambri Mohd Isa, berkata penelitian terbabit perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kejadian malang yang menimpa pelajar Tingkatan Satu, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, berlaku kepada pelajar lain.

"GPMS akan terus meminta kerajaan mengambil kira pemberian bas percuma ini kepada pelajar kerana kita tidak mahu pelajar berdepan dengan risiko kemalangan ketika pergi sekolah.

"Sekiranya tidak mampu untuk memberi secara percuma, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memberi subsidi kepada harga tambang bas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kemalangan, Siti Nuraisyah, yang kehilangan kedua kaki selepas digilis lori, Isnin lalu.

Zambri berkata, beliau akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat ini, bagi memaklumkan cadangan perkara itu.

"Saya akan berjumpa Perdana Menteri mengenai kos sara hidup pelajar universiti. Ini kesempatan untuk saya membincangkan perkara berkenaan," katanya.

Berita Harian X