Sabtu, 16 Januari 2016 | 1:12pm

Penduduk Bukit Jelutong banteras denggi

PENDUDUK Jalan Kubah gotong-royong membersihkan kawasan di sekitar Jalan Kubah bagi membanteras denggi di sekitar Bukit Jelutong. - Foto Shazreen Zamzuri
PENDUDUK Jalan Kubah gotong-royong membersihkan kawasan di sekitar Jalan Kubah bagi membanteras denggi di sekitar Bukit Jelutong. - Foto Shazreen Zamzuri

SHAH ALAM: Penduduk Jalan Kubah, Bukit Jelutong, di sini, sepakat mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran kediaman mereka bagi membanteras wabak denggi.

Wakil penduduk, Vincent Jayashankar, 50, berkata kata putus itu dibuat susulan lebih 50 kes demam denggi dilaporkan di kawasan perumahan berkenaan dalam tempoh sebulan lalu.

"Saya berpindah ke taman ini pada tahun 2005 dan tidak pernah berdepan situasi mencemaskan seperti bulan lalu apabila lebih 50 kes demam denggi dilaporkan dan ini amat serius.

"Oleh itu, kami perlu melakukan sesuatu sebelum lebih ramai penduduk menjadi mangsa," katanya ketika ditemui selepas Majlis Gotong-Royong Komuniti Jalan Kubah, Bukit Jelutong, pagi tadi.

Katanya, peningkatan kes demam denggi mungkin berpunca daripada projek pembinaan berhampiran kawasan perumahan mereka, selain faktor cuaca yang menggalakkan pembiakan nyamuk pembawa virus itu.

"Kami tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan gotong-royong. Terus menuding jari menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah ini," katanya.

Namun, katanya, perbincangan akan tetap dilakukan dengan pemaju projek pembinaan terbabit bagi mencari penyelesaian masalah denggi di kawasan itu yang menempatkan kira-kira 700 rumah.

Berita Harian X