Jumaat, 8 Januari 2016 | 10:58am

15,000 hadiri Negeri Sembilan Berselawat

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menghadiri majlis Negeri Sembilan Berselawat di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin.- Foto BERNAMA
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menghadiri majlis Negeri Sembilan Berselawat di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin.- Foto BERNAMA

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berangkat ke program Negeri Sembilan Berselawat 2016 di padang Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini, malam tadi.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan putera Baginda, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.

Program itu yang dihadiri kira-kira 15,000 umat Islam turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumuddin.

Program yang diadakan sempena Maulidur Rasul dan Hari Keputeraan Tuanku Muhriz yang ke-68 dianjurkan oleh kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Program kali kedua itu turut menampilkan penceramah agama tempatan terkenal, Habib Najmuddin Othman al-Khered, selain persembahan kumpulan nasyid Nur Ahli Badar dan In-Team.

Sementara itu, Mohamad berkata, program kerohanian itu amat ditunggu-tunggu umat Islam selepas diadakan julung kali tahun lalu di Seri Menanti, Kuala Pilah.

Katanya, kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan program itu setiap tahun sebagai langkah memperbanyakkan program kerohanian di negeri ini.

"Program berselawat secara beramai-ramai ini bagi menzahirkan rasa syukur kita kepada Allah kerana dapat berada di negeri dan negara yang aman damai, serta paling utama dapat memupuk semangat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW," katanya.

Berita Harian X