Isnin, 4 Januari 2016 | 10:02pm

MDKL kesan 54 lokasi pembuangan sampah haram

MAJLIS Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya mengekang aktiviti pembuangan sampah secara haram selepas menahan sebuah lori yang membuang sisa sampah penjaja air kelapa di Jalan SP 2, Bandar Saujana Putra. - Foto Ihsan MDKL
MAJLIS Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya mengekang aktiviti pembuangan sampah secara haram selepas menahan sebuah lori yang membuang sisa sampah penjaja air kelapa di Jalan SP 2, Bandar Saujana Putra. - Foto Ihsan MDKL

BANTING: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengesan 54 kawasan pembuangan sampah haram di sekitar daerah ini.

Yang Dipertuanya, Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata berikutan masalah itu yang semakin menjadi-jadi, pasukan penguat kuasa MDKL menjalankan 47 operasi bagi tempoh Oktober hingga November tahun lalu dalam usaha mewujudkan sebuah persekitaran bersih.

"Sebanyak 51 kawasan panas dikesan pada tahun lalu, manakala tiga lokasi pembuangan sampah haram baharu dijumpai tahun ini pula di kawasan Telok Panglima Garang dan Bandar Mahkota, menjadikan keseluruhannya sebanyak 54 lokasi pembuangan sampah haram.

"Sebanyak 18 kompaun turut dikeluarkan kepada pesalah yang didapati membuang sampah haram. Hasil pemeriksaan dijalankan, kita mendapati kebanyakannya dibuang oleh penjaja air kelapa dan sampah domestik rumah," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata,  Bahagian Penguatkuasaan Dan Keselamatan MDKL turut menahan dan menyita sebuah lori atas kesalahan membuang sampah haram di Jalan SP 2, Bandar Saujana Putra. 

"Tangkapan dan penahanan ini kerana membuang sampah di tempat tidak dibenarkan oleh MDKL mengikut Undang-Undang Kecil (UKK) pemungutan, pembuangan dan pelupusan sampah MDKL 2007.

"Melihatkan kadar akur untuk menjelaskan kompaun yang rendah, pesalah akan berdepan dengan pendakwaan kes di mahkamah kerana ingkar menjelaskan kompaun dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM2,000," katanya. 

Mengulas lanjut, katanya, MDKL akan meningkatkan usaha menggempur lokasi pembuangan sampah haram. 

"Orang ramai juga dinasihat sentiasa menjaga dan memelihara kebersihan, selain bekerjasama menyalurkan maklumat supaya aktiviti pembuangan sampah haram ini dapat dibendung," katanya.

Berita Harian X