Ahad, 27 Disember 2015 | 5:21pm

'Moh Poie Sekolah' dapat sambutan ramai

NAIB Ketua UMNO bahagian Rasah, Datuk Abdul Karim Mustafa (dua dari kiri), memotong rambut pelajar sekolah pada program 'Jom Gunting Rambut Percuma' di Balai Raya Batu 9, Labu. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza.
NAIB Ketua UMNO bahagian Rasah, Datuk Abdul Karim Mustafa (dua dari kiri), memotong rambut pelajar sekolah pada program 'Jom Gunting Rambut Percuma' di Balai Raya Batu 9, Labu. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza.

SEREMBAN: Lebih 150 pelajar sekolah rendah dan menengah mendapat khidmat gunting rambut percuma pada program 'Jom Poie Sekolah' anjuran UMNO Bahagian Rasah di Balai Raya Batu 9, Labu di sini, hari ini.

Naib Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Abdul Karim Mustafa, berkata selain gunting rambut percuma, pengisian program itu ialah ceramah motivasi dan penyerahan beg serta barangan kelengkapan sekolah kepada penerima yang layak.

"Antara objektif utama program ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa sempena pembukaan semula sekolah tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan memberi peluang kepada pihaknya beramah mesra dengan penduduk dalam suasana lebih mesra.

Katanya, program yang kali kedua dianjurkan itu akan diadakan lagi menjelang sesi persekolahan tahun hadapan dengan skala lebih besar, terutama penambahan lebih ramai tukang gunting rambut.

Berita Harian X