Isnin, 19 Jun 2017 | 1:05pm

2.2j liter air diagih ke kawasan terjejas setiap hari

gn4id:21223854

ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman (SADA) menjangkakan 2.2 juta liter air sehari akan diagihkan kepada penduduk yang menghadapi gangguan bekalan ketika Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Abdul Ghani Zainuddin, berkata pengagihan air itu meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu berikutan persediaan pihaknya yang lebih rapi.

"Berdasarkan pengalaman lalu, kita sediakan 98 lori untuk menghantar air kepada 226 kampung yang terjejas di seluruh negeri.

"Jadi tahun ini kita membuat persiapan yang lebih baik dengan menyediakan 127 lori, ...ini berikutan SADA dapat mengenal pasti lebih banyak kampung yang terjejas iaitu 257 buah kampung.

"Lori ini akan mula menghantar air bermula jam 8 pagi hingga 12 malam dan sekiranya keadaan semakin buruk, kita sedia untuk menghantar bekalan 24 jam selama tujuh hari semasa Aidilfitri nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Taklimat dan Persiapan Terakhir Masalah Air Menjelang Aidilfitri di Wisma Darul Aman hari ini.

Taklimat itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Sementara itu, Badrol Hisham berkata, kerajaan negeri akan memberi taklimat kepada wakil rakyat pembangkang mengenai kaedah yang diambil SADA bagi menangani krisis air di seluruh negeri.

Berita Harian X