Isnin, 1 Mei 2017 | 3:07pm

Pengusaha harumanis diserang pencuri

KANGAR: Seorang pengusaha harumanis terpaksa menerima lapan jahitan di kepala apabila diserang dua pencuri mempelam itu di Kampung Simpang Sanglang, di sini, baru-baru ini.

Termizi Tafadzol, 38, berkata dalam kejadian jam 4.30 petang Isnin lalu, beliau yang berada di rumah dimaklumkan pekerjanya di sawah padi berdekatan yang mengesyaki terdapat dua lelaki di dalam ladang harumanis.

"Saya bergegas dari rumah kira-kira dua kilometer untuk ke ladang dan apabila sampai dua lelaki berada di sana," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dua lelaki itu yang menyedari kehadirannya cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

"Saya dipukul di bahagian kepala, kiri dan kanan badan serta belakang badan oleh kedua-dua mereka...saya sempat melawan, namun dua lelaki terbabit tetap berjaya melarikan diri," katanya yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Termizi berkata, walaupun kedua-dua mereka gagal melarikan dua guni berisi 50 kilogram (kg) harumanis beliau tetap mengalami kerugian kerana buah berkenaan yang dianggar bernilai RM1,000 rosak kerana dipetik terlalu awal.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, mengesahkan dua suspek berusia 21 dan 25 tahun yang juga penduduk kampung berdekatan ditahan pada hari sama ketika tampil ke balai polis untuk membuat laporan kononnya dipukul pengusaha harumanis itu.

"Mereka masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 324 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X