Jumaat, 28 April 2017 | 3:02pm

TLDM sasar 60,000 kunjungi Hari Terbuka Armada

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan) bersama Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin merasmikan Hari Terbuka Armada 2017 Sempena Sambutan Hari TLDM Ke 83 di Pangkalan TLDM Lumut. - Foto Muhaizan Yahya
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan) bersama Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin merasmikan Hari Terbuka Armada 2017 Sempena Sambutan Hari TLDM Ke 83 di Pangkalan TLDM Lumut. - Foto Muhaizan Yahya

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyasarkan lebih 60,000 kunjungan orang ramai ke Hari Terbuka Armada sempena sambutan Hari TLDM ke-83 di Tambatan Pangkalan Lumut di Pangkalan TLDM Lumut di sini yang bermula hari ini.

Majlis perasmian dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan diringi Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sambutan kali ini lebih istimewa dengan pembabitan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Perak Agrofest 2017.

Pameran itu adalah kolaborasi antara TLDM, kerajaan negeri dan kementerian berkenaan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Perak bagi mencapai hasrat kerajaan dalam melaksanakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) secara menyeluruh.

Hari terbuka itu juga membawa kelainan di mana ia berkonsepkan karnival siang dan malam bermula jam 9 pagi hingga 10 malam selama tiga hari dengan pelbagai aktiviti menarik seperti lawatan kapal dan aset TLDM, demonstrasi kuasa tempur, jualan dan promosi kerjaya TLDM.

Zambry berkata, kerjasama julung kali itu memberi manfaat kepada pengunjung yang berpeluang melihat dengan lebih dekat pameran selain mendekati pasukan pertahanan laut itu.

"Ini pendekatan secara NBOS yang mana kolaborasi ini dapat membuahkan hasil yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Hospital Mesra Ibadah di 96 Hospital Angkatan Tentera di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

Hospital berkenaan diwujudkan bagi memudahkan pesakit, keluarga, pelawat, kakitangan dan semua pihak supaya dapat mendekatkan diri dengan Allah.

Selain itu, ia dapat memberikan kesedaran melalui pendidikan pesakit dan keluarga supaya sentiasa mendekatkan diri dengan Allah dengan menunaikan solat lima waktu, memperuntukkan masa untuk membaca al-Quran dan zikir harian.

Berita Harian X