Ahad, 9 April 2017 | 6:59pm

Paras air di 3 empangan Kedah naik

PADANG TERAP: Paras air di tiga empangan di Kedah semakin meningkat berikutan penerimaan hujan yang baik di kawasan tadahan sekali gus mencukupi untuk dilepaskan bagi keperluan pertanian, domestik dan perindustrian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Sumber Air, Bekalan Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata tiga empangan itu adalah Empangan Pedu, Ahning dan Muda yang kini sudah berada di paras baik apabila mencatatkan bacaan melebihi 63 peratus.

Katanya, kerajaan negeri bersedia untuk melepaskan air untuk kegunaan pertanian yang sebelum ini tidak dapat dilepaskan kerana penyusutan mendadak akibat fenomena El Nino hujung tahun lalu.

"Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan membuat pengumuman mengenai perkara ini nanti, malah beliau akan berbincang dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda ( MADA) supaya air di empangan ini akan dapat dilepaskan kepada petani bagi memulakan musim 1/2017 tidak lama lagi.

"Sebelum ini MADA sudah putuskan supaya petani meneruskan musim 1/2017 menerusi kaedah tabur kering, jadi Menteri Besar dan pihak MADA akan bincang dan putuskan mengenai perkara ini semula sama ada teruskan dengan kaedah tabur kering atau kaedah biasa kerana empangan kita sudah cukup air," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran dan Perkembangan Cendawan (PPPC) di Kampung Nyior di sini, hari ini.

BADROL Hisham (dua dari kiri ) melihat proses tisukultur cendawan jerami selepas merasmikan Pusat Pengeluaran dan Pengembangan Cendawan (PPPC) di Kampung Padang Nyior. - Foto Amran Hamid
BADROL Hisham (dua dari kiri ) melihat proses tisukultur cendawan jerami selepas merasmikan Pusat Pengeluaran dan Pengembangan Cendawan (PPPC) di Kampung Padang Nyior. - Foto Amran Hamid

Badrol Hisham berkata, peningkatan paras air di tiga empangan itu menutup isu masalah air kepada penduduk serta petani yang sebelum ini bimbang dengan keadaan kemarau yang melanda negeri ini.

"Kita bernasib baik kerana kemarau tidak panjang tahun ini, hujan lebat di kawasan tadahan turut membantu meningkatkan paras air Sungai Muda seterusnya mencukupkan bekalan kepada loji rawatan air yang sedia ada," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, penyusutan tadahan sehingga 49.1 peratus yang mempunyai kaitan dengan fenomena El Nino dijangka menjejaskan hingga 15 peratus hasil padi musim 1/2017.

Berita Harian X