Sabtu, 1 April 2017 | 7:44pm

286 unit PPR mampu milik di Kuala Nerang

DATUK Seri Mahdzir Khalid mendengar penerangan dari Pegawai Daerah Padang Terap, Fathullah Ismail (kanan) sewaktu meninjau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Terap yang dalam pembinaan dan dijangka siap pada awal 2018. - Foto Shahrizal Md Noor
DATUK Seri Mahdzir Khalid mendengar penerangan dari Pegawai Daerah Padang Terap, Fathullah Ismail (kanan) sewaktu meninjau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Terap yang dalam pembinaan dan dijangka siap pada awal 2018. - Foto Shahrizal Md Noor

PADANG TERAP: Warga Kedah berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan berpeluang memiliki kediaman sendiri melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibangunkan di Kuala Nerang, di sini.

PPR Padang Terap dibangunkan kerajaan berhampiran Taman Belimbing di sini, dengan kos RM46 juta dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan, dengan sasaran memenuhi keperluan pembeli rumah dalam kalangan generasi muda berpendapatan rendah.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata PPR Padang Terap menyediakan 286 unit rumah yang dibangunkan di atas tapak seluas 10.12 hektar adalah sebahagian daripada tiga projek dibangunkan kerajaan melalui PPR di Kedah khususnya membabitkan perumahan teres.

"Pembinaan rumah berkenaan adalah hasil inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu lebih banyak PPR dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dibangunkan untuk generasi muda berpendapatan rendah dan sederhana.

"Selain PPR Padang Terap, kita juga membangunkan perumahan teres mampu milik di dua lagi daerah iaitu di Kubang Pasu dan Kota Setar, selain beberapa projek lain membabitkan rumah pangsa untuk memnuhi keperluan golongan sasar itu," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke tapak pembinaan PPR Padang Terap yang kini mencecah 40 peratus siap.

Mengulas projek itu, beliau berkata rumah berkenaan mempunyai tiga bilik dilengkapi kemasan lantai dengan keluasan 65 meter persegi dan ia dijual pada harga RM35,000 hingga RM45,000 seunit, berbanding harga pasaran antara RM150,000 hingga RM160,000 seunit.

"Untuk projek ini kerajaan menyediakan subsidi sebanyak 75 peratus daripada harga asal kepada pembeli dan menariknya ia mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya harap orang ramai merebut peluang untuk mendapatkan rumah ini dan borang permohonan boleh didapati di Pejabat Daerah Padang Terap atau Pejabat Majlis Daerah Padang Terap dengan harga RM2 sahaja," katanya.

Berita Harian X