Sabtu, 25 Februari 2017 | 9:55pm

Dakwa warga asing monopoli kerja pemandu di Cameron Highlands

LAPAN pemandu tempatan bersama kain rentang pemandu warga asing selepas membuat laporan polis di IPD Cameron Highlands, petang tadi.
LAPAN pemandu tempatan bersama kain rentang pemandu warga asing selepas membuat laporan polis di IPD Cameron Highlands, petang tadi.

CAMERON HIGHLANDS: Sekumpulan lapan rakyat tempatan yang bekerja sebagai pemandu pacuan empat roda di sini, membuat laporan polis mendakwa pekerjaan diceburi mereka dimonopoli warga asing.

Semua mereka berusia antara 25 hingga 38 tahun membuat aduan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands di Brinchang di sini, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Jurucakap kumpulan pemandu itu, S Sivabalan, 32, berkata aduan itu dibuat terhadap majikan di Cameron Highlands yang gemar mengambil warga asing bekerja sebagai pemandu pacuan empat roda jenis Land Rover dan menafikan peluang rakyat tempatan.

"Apabila pekerja asing diambil, gaji kami dikurangkan daripada RM65 sehari kepada RM40 sehari dan bekerja tujuh hari seminggu serta antara 12 hingga 14 jam seminggu.

"Kami juga diminta tidak menyoal caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain diminta tidak menyoal hak pekerja seperti hak menubuhkan kesatuan sekerja," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam laporan polisnya, Sivabalan mendakwa antara 60 hingga 70 pemandu pemandu Land Rover di kawasan Lojing, Blue Valley, Kampung Raja dan Kuala Terla adalah pekerja warga asing.

Beliau mendakwa, warga asing memandu tanpa lesen dan dengan kondisi pekerjaan yang buruk.

"Kami dapati agensi penguatkuasaan seperti polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Imigresen, Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan pihak polis sendiri kurang melakukan penguatkuasaan terhadap isu ini.

"Beberapa kemalangan jalan raya sudah berlaku sepanjang tahun lalu akibat warga asing yang memandu lori kecil atau Land Rover dengan kondisi yang terlalu buruk," katanya.

Berita Harian X