Selasa, 7 Februari 2017 | 4:55pm
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Lelaki OKU mati lemas

MANGSA, Sheikh Shereel Nor Samsudin, 24, ditemui lemas berdekatan Masjid Al-Husin dekat Kuala Perlis, di sini, pagi tadi.
MANGSA, Sheikh Shereel Nor Samsudin, 24, ditemui lemas berdekatan Masjid Al-Husin dekat Kuala Perlis, di sini, pagi tadi.

KANGAR: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang baru selesai menunaikan solat Subuh ditemui lemas di dalam laut berdekatan Masjid Al-Husin dekat Kuala Perlis, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Sheikh Shereel Nor Samsudin, 24, sebelum itu dikatakan berjalan seorang diri di pesisir pantai berdekatan masjid berkenaan sebelum berjalan menuju ke arah laut.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata kehilangan mangsa disedari bapanya yang juga turut serta bersama ke masjid.

"Ketika sedang mencari, bapa mangsa terpandang ke arah laut dan mendapati mangsa sedang lemas sebelum menjerit meminta tolong.

"Seorang lelaki kebetulan berada di lokasi kejadian berenang menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi.

Wari berkata, walaupun mangsa berjaya dibawa naik ke darat bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sekitar jam 7.55 pagi.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan jenazahnya dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Sanglang, hari ini," katanya.

Berita Harian X