Khamis, 29 Disember 2016 | 2:09pm

13 tukang gunting profesional potong rambut pelajar secara percuma

SEBAHAGIAN pelajar sekolah rendah dan menengah yang menyertai Program Gunting Rambut Percuma anjuran Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Putra Pomade dan Kedai Gunting Rambut Dewan Seri Bakitas, Taman Semarak di Sungai Petani. - Foto Nor Farhani Che Ad
SEBAHAGIAN pelajar sekolah rendah dan menengah yang menyertai Program Gunting Rambut Percuma anjuran Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Putra Pomade dan Kedai Gunting Rambut Dewan Seri Bakitas, Taman Semarak di Sungai Petani. - Foto Nor Farhani Che Ad

SUNGAI PETANI: Seramai 13 tukang gunting profesional turun padang memberikan khidmat gunting rambut percuma kepada 250 pelajar sekolah rendah dan menengah, di sini, hari ini.

Program anjuran Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Putra Pomade dan Kedai Gunting Rambut di Dewan Seri Bakitas di Taman Semarak, di sini, dianjur khusus untuk membantu memudahkan pelajar khususnya golongan anak yatim yang memerlukan khidmat itu sebelum bermula sesi persekolahan.

Penganjur program, Muhammad Farhan Shafie, berkata semua 13 tukang gunting terbabit dibawa bawa khusus daripada tujuh kedai gunting gunting di sekitar Sungai Petani untuk program ini.

"Kebanyakan mereka tampil menyumbangkan bakti kepada masyarakat selepas melihat kepayahan golongan ibu bapa melakukan persediaan menjelang sesi persekolahan baharu kepada anak-anak.

"Program bermula jam 10 pagi hingga 3 petang ini mendapat sambutan dan turut disertai 25 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Kampung Che Bema, di Sungai Layar, di sini.

"Bagi anak yatim yang dijemput khas ini, kami turut memberikan sumbangan wang tunai dan peralatan alat tulis kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Basharini Abu Bakar, 33, berkata program berkenaan perlu diteruskan bagi membantu lebih ramai ibu bapa melakukan persediaan persekolahan anak-anak mereka.

"Walaupun harga dikenakan untuk memotong rambut adalah sekitar RM5 hingga RM7 bagi seorang murid sekolah, program ini dapat mengurangkan bebanan ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah.

"Perbelanjaan itu juga dapat digunakan bagi membeli persiapan lain seperti alat tulis dan sebagainya," katanya.

Berita Harian X