Sabtu, 17 Disember 2016 | 3:28pm

30 pasangan nikah serentak

SERAMAI 30 pasangan selamat dinikahkan serentak dalam majlis Nikah Jama'ie Syar'ie atau Majlis Pernikahan Beramai-ramai di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh, hari ini. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SERAMAI 30 pasangan selamat dinikahkan serentak dalam majlis Nikah Jama'ie Syar'ie atau Majlis Pernikahan Beramai-ramai di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh, hari ini. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

IPOH: Seramai 30 pasangan selamat dinikahkan serentak dalam majlis Nikah Jama'ie Syar'ie atau Majlis Pernikahan Beramai-ramai di Masjid Sultan Idris Shah II di sini, hari ini.

Pada program itu, 30 jurunikah daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hadir bagi menguruskan pendaftaran semua pasangan mempelai yang berusia antara 19 hingga 28 tahun selain sebahagiannya bertindak selaku wakil wali pernikahan yang diketuai pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Mohd Yusop berkata, program kali ketiga anjuran Masjid Negeri sejak 2014 itu bertujuan menggalakkan pasangan khususnya golongan muda yang kurang berkemampuan supaya melunaskan tuntutan agama berkenaan yang dengan cara menepati tuntutan syarak.

"Tujuan program ini diadakan di dalam masjid adalah supaya majlis diisi dengan slot kerohanian termasuk iringan selawat, bacaan al-Quran serta pelaksanaan solat sunat nikah dan sujud syukur oleh pasangan pengantin mahu pun keluarga terdekat yang hadir.

"Selain itu, pengantin yang diijab kabulkan dalam program ini secara sendirinya akan menjadi ahli kelab alumni Nikah Jama'ie Syar'ie di bawah seliaan JAIPk yang membolehkan mana-mana ahlinya mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling khususnya berkisar mengenai hukum-hakam berumah tangga," katanya pada sidang media sempena majlis itu di sini, hari ini.

Perasmian majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Mohd Yusop berkata, program berkenaan adalah kesinambungan daripada program nikah beramai-ramai anjuran JAIPk di mana ia memberi peluang kepada pasangan yang tidak sempat mendaftar bagi menyertai acara tahunan berkenaan yang diadakan pada setiap 16 September setiap tahun.

"Kita memilih 16 September supaya pasangan yang menyertai program sebegini sentiasa mengingati Hari Malaysia yang bertepatan dengan hari ulang tahun perkahwinan mereka," katanya.

Setiap pasangan hanya perlu membayar RM1,200 meliputi kos urusan pendaftaran nikah, upah saksi, jamuan yang terhad kepada 50 tetamu serta hidangan makan beradab bagi pengantin yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, di sini, selain disusuli pakej penginapan satu malam.

Berita Harian X