Jumaat, 4 November 2016 | 11:15am

Penduduk berjaga malam tadah air

HALINI Hashim, mencedok air yang ditadah di hadapan rumahnya untuk kegunaan harian ahli keluarganya. - Foto Noorazura Abdul Manaf
HALINI Hashim, mencedok air yang ditadah di hadapan rumahnya untuk kegunaan harian ahli keluarganya. - Foto Noorazura Abdul Manaf

KUALA KEDAH: Kira-kira 100 penduduk di Taman Perpaduan, di sini, resah berikutan masalah tekanan air rendah yang dialami mereka sejak dua tahun lalu.

Penduduk, Sofiah Nayan, 73, berkata bekalan air hanya dapat dinikmati dengan sempurna selama dua hari dalam tempoh seminggu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan rutin harian terganggu sehingga terpaksa berjaga malam untuk menadah air daripada paip rumah mereka.

"Saya tidak tahu hari apa bekalan air akan ada. Kadang-kadang air ada satu jam saja sehari, kadang-kadang tak ada langsung. Kalau air ada jam 2 pagi, waktu itulah saya akan bangun untuk mencuci pakaian.

"Jika nak masak atau minum, saya terpaksa mengeluarkan belanja membeli air dari kedai terdekat," katanya ketika ditemui di rumahnya di taman perumahan itu.

Seorang lagi penduduk, Halini Hashim, 55, berkata dia terpaksa membuka paip air sepanjang masa dan akan menadah air dengan baldi serta besen di hadapan rumahnya untuk kegunaan harian.

"Ada waktu tertentu, air menjadi keruh, tetapi saya tetap tadah air. Yang penting, anak dan cucu saya dapat mandi sebelum pergi bekerja dan ke sekolah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), Rofedi Sulaiman, berkata gangguan air itu berlaku disebabkan loji di Bukit Pinang, di sini, sedang diselenggara dan dijangka pulih sepenuhnya minggu depan.

"Kerja berkenaan memberi kesan kepada paras tangki imbangan di Bukit Tinggi, Jitra, yang menyalurkan air ke kawasan taman berkenaan, sekali gus mempengaruhi tekanan air di kawasan terbabit," katanya.

Berita Harian X