KUALA LUMPUR: Penggemar fotografi berpeluang menyerlahkan bakat menerusi Pertandingan Kedah Photoquest 2016 yang dianjurkan syarikat pemaju, Bina Darulaman Berhad (BDB).
Pertandingan pada 10 hingga 13 November ini antara lain bertujuan merakamkan kehidupan dan pemandangan Negeri Jelapang Padi dalam bentuk fotografi.
Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff, berkata ia juga bagi mempromosi keunikan Kedah kepada orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara, sempena kempen Discovery Kedah 2016.
"Peserta pertandingan yang terpilih akan diberi elaun penginapan dan petrol mengikut daerah yang ditetapkan," katanya pada sidang media mengumumkan pertandingan berkenaan, di sini hari ini.
Katanya, mereka yang berminat boleh menghantar portfolio bersama lima keping gambar terbaik genre pilihan seperti landskap, alam semula jadi dan seni bina.
"Penyertaan tanpa had umur ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia serta warga asing. Peserta boleh menggunakan semua jenis kamera untuk mengambil gambar termasuk drone, tetapi tidak boleh menggunakan kamera telefon pintar," katanya.
Izham berkata, hadiah lumayan keseluruhan mencecah RM40,000 menanti setiap pemenang dengan tarikh tutup penyertaan pada 25 Oktober ini.
Pendaftaran yang lengkap perlu dihantar kepada penganjur melalui e-mel bdbphotoquest@gmail.com.