Ahad, 2 Oktober 2016 | 1:18pm

Kukuhkan ilmu pengetahuan, teras kekuatan - Sultan Nazrin

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bersalaman dengan pelajar-pelajar tahfiz ketika hadir pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1438 Peringkat Negeri di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di Bagan Serai, hari ini. - Foto BERNAMA
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bersalaman dengan pelajar-pelajar tahfiz ketika hadir pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1438 Peringkat Negeri di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di Bagan Serai, hari ini. - Foto BERNAMA

BAGAN SERAI: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah pengukuhan ilmu pengetahuan perlu menjadi teras kekuatan jiwa insan.

Titah baginda, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW turut membuktikan bahawa pusat penyebaran ilmu dan perkembangan intelektual adalah nadi kepada kewujudan generasi madani, iaitu masyarakat yang maju dari sudut pemikiran, spiritual dan kebendaan.

"Perkara pertama dilakukan baginda Rasulullah SAW ketika sampai ke Madinah bukan sekadar mendirikan tetapi membangunkan masjid. Masjid pada era baginda dan pada era sahabat, bukan sekadar tempat menunaikan solat, malah berperanan lebih luas, berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu dan perkembangan intelektual ummah.

"Masjid juga berperanan sebagai pusat penyatuan umat, berjaya menjalinkan hubungan rapat di antara satu puak dengan puak yang lain, hingga terkikis unsur asabiah yang menjadi punca kepada permusuhan dan perpecahan, bahkan, masjid juga menjadi pusat pentadbiran kerajaan Madinah," titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1438 Peringkat Negeri di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan isteri, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan isteri, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal dan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Sultan Nazrin bertitah, hijrah menghasilkan kejayaan besar kepada pembentukan sebuah negara yang menjadi platform terlaksananya syariat Allah, terbentuknya akhlak mulia, terpupuk nilai persaudaraan sejagat, tersemai dan tumbuh subur pepohon ilmu serta nilai intelek, yang menjadi pemangkin terciptanya era kegemilangan Islam.

"Sematkan rasa penuh kesyukuran di atas nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita dan negara selama ini dan mohonlah kepadaNya agar kita dilimpahkan rahmat yang berkekalan dan berpanjangan sehingga ke hari kebangkitan.

"Namun, perlu disedari bahawa rahmat ini perlu diawasi dengan penuh ketaatan, jangan dilanggar sempadan larangan yang telah ditetapkan olehNya, apatah lagi kembali menyusur kesesatan setelah cahaya keimanan disirnakan.

Sekiranya tersasar dan berada dalam kesulitan, selusurilah kembali sinar petunjuk kebenaran yang terpelihara melalui al-Quran dan sunah Rasulullah SAW," titah baginda lagi.

Berita Harian X