Sabtu, 24 September 2016 | 6:59pm

Kesan gejala awal penyakit mental

AHLI Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid (empat kiri) memukul gong sambil diperhatikan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie (kanan) pada program Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat negeri Perak 2016 dan Kem Nak Sihat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Merchu, Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
AHLI Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid (empat kiri) memukul gong sambil diperhatikan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie (kanan) pada program Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat negeri Perak 2016 dan Kem Nak Sihat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Merchu, Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

KUALA KANGSAR: Masyarakat harus menghilangkan stigma negatif terhadap pesakit mental serta tidak malu mendapatkan bimbingan dan rawatan sekiranya mengesan berlaku gejala awal penyakit berkaitan mental terhadap diri sendiri atau individu lain. 

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata masyarakat perlu segera mendapatkan rawatan awal sekiranya mereka sendiri atau saudara-mara dan kenalan terdekat menunjukkan gejala awal penyakit berkaitan mental memandangkan penyakit itu  juga wujud secara bertahap dan berperingkat selain boleh dirawat dan sembuh sepenuhnya. 

"Kita perlu hapuskan stigma yang melihat pesakit mental sebagai hina hingga membuatkan ramai pihak malu tampil mengambil pencegahan awal," katanya pada sidang media selepas program Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia peringkat negeri Perak 2016 dan Kem Nak Sihat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Merchu di sini, hari ini. 

Program berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid. 

Dr Juita berkata, antara langkah pencegahan awal ialah menjalani saringan untuk mengenal pasti tahap tekanan dihadapi selain didedahkan dengan kemahiran menangani tekanan melalui teknik seperti kerehatan, terapi muzik, komunikasi berkesan dan berfikiran positif. 

Beliau berkata, kes seperti tekanan menghadapi cabaran hidup yang berkaitan dengan kesejahteraan individu seperti tekanan perasaan, kegelisahan, panik, dan gejala berkaitan dikategorikan sebagai penyakit mental yang tidak kronik. 

Begitupun, katanya, masyarakat jangan memandang remeh terhadap terhadap gejala penyakit mental tidak kronik itu kerana ia boleh menjadi kronik jika tidak dirawat atau dilakukan pencegahan awal.

Berita Harian X