Isnin, 15 Ogos 2016 | 8:18pm

Promosi produk pelancongan Pulau Pinang

MOHD Mazlan (kanan) melepaskan peserta Program 'Travelling Shoes: Malaysia Culturethon' di Pejabat Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Pulau Pinang, hari ini. - Foto Razdzan Masiam
MOHD Mazlan (kanan) melepaskan peserta Program 'Travelling Shoes: Malaysia Culturethon' di Pejabat Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Pulau Pinang, hari ini. - Foto Razdzan Masiam

GEORGETOWN: Seramai 40 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) termasuk empat pelajar antarabangsa menyertai program 'Travelling Shoes: Malaysia Culturethon', bermula hari ini.

Ketua Unit Pelesenan Pelancongan Pulau Pinang, Mohd Mazlan Hashim, berkata program itu adalah antara aktiviti bertujuan mempromosi keunikan budaya negeri kepada masyarakat.

"Program ini dianjur bersama pelajar UKM dan kita bangga apabila ada anak muda sanggup datang dari jauh untuk melihat bandar raya Georgetown yang penuh dengan kesan peninggalan sejarah.

"Saya harap program begini dapat diperluaskan bagi menambah bilangan pelancong ke Pulau Pinang dan melihat keunikan budaya penduduknya," katanya selepas majlis pelancaran program itu, hari ini.

Pengarah program, Mohd Ariff Saifuddin Norman, berkata 'Travelling Shoes: Malaysia Culturethon' diadakan sempena sambutan Kemerdekaan bertujuan mendedahkan peserta kepada budaya, makanan dan aktiviti harian penduduk tempatan.

"Program ini turut memperkenalkan budaya dan tradisi masyarakat Malaysia berbilang kaum sebagai strategi menarik minat belia antarabangsa mengikuti pengajian atau melancong ke negara ini.

"Selain peserta tempatan, ada empat pelajar dari Iran, Perancis dan Nepal bersama kita bagi melihat budaya masyarakat Malaysia secara lebih dekat," katanya.

Tahun lalu, seramai 6.4 juta pelancong berkunjung ke Pulau Pinang, menjadikannya antara negeri paling tinggi dilawati di negara ini.

Berita Harian X