Isnin, 25 Julai 2016 | 5:03pm

Curi gaharu: Zambry minta Jabatan Perhutanan sedia laporan

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bergambar bersama orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPNP) di Ipoh, hari ini. - Foto Yahya Zainuddin
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bergambar bersama orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPNP) di Ipoh, hari ini. - Foto Yahya Zainuddin

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta Jabatan Perhutanan negeri menyediakan laporan berhubung kegiatan mencuri kayu gaharu di Hutan Simpan Amanjaya (HSA), dekat Grik.

Zambry berkata, laporan berkenaan perlu disediakan bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil tindakan dalam memastikan kawasan hutan simpan di negeri ini tidak dicerobohi mana-mana pihak.

"Saya sudah bangkitkan perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri mengenai perkara yang perlu diambil tindakan (bagi menangani kegiatan itu), " katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPNP) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abd Puhat Mat Nayan, Ketua Pegawai Eksekutif PPNP, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

BH sebelum ini melaporkan, warga asing khususnya dari Thailand, Vietnam, Kemboja dan Pakistan dikesan menceroboh HSA yang menggunakan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) sebagai laluan masuk sebagaimana dilaporkan BH sebelum ini.

Kegiatan pencerobohan dan kecurian kayu gaharu itu dikesan apabila kamera yang dipasang Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia untuk merakam gambar binatang liar di hutan itu turut memperlihatkan gambar beberapa lelaki secara berasingan dipercayai warga asing yang mencuri kayu gaharu.

Zambry berkata, dalam mesyuarat berkenaan, beliau menekankan beberapa perkara penting termasuk memperketatkan laluan masuk ke negeri ini berikutan perkara itu bukan hanya membabitkan kecurian kayu gaharu, malah turut menjejaskan keselamatan rakyat di negeri ini.

Katanya, pasukan keselamatan khususnya polis dan tentera akan menjalankan tugas pemantauan berkenaan, malah beliau sendiri turut turun padang membuat pemantauan dua bulan lalu di sempadan Malaysia-Thailand bagi memastikan pencerobohan tidak berlaku.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sudah membuat beberapa tindakan perlu bagi memastikan kawasan berkenaan benar-benar dijaga dengan sebaiknya dalam memastikan tidak berlaku masalah pencerobohan," katanya.

Berita Harian X