Sabtu, 23 Julai 2016 | 10:48am
Lebuhraya Timur Barat, Gerik-Jeli .
Lebuhraya Timur Barat, Gerik-Jeli .

60 gajah liar dikesan di Lebuhraya Timur Barat

GERIK: Pengguna Lebuhraya Timur Barat, Gerik-Jeli ada ketikanya berhadapan situasi panik apabila terserempak dengan gajah liar yang berkeliaran dan tidak kurang juga yang melintas jalan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Noor Alif Wira Osman, berkata gajah liar berkenaan mendiami Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor di sini.

Katanya, gajah liar di kawasan berkenaan yang dianggar melebihi 60 ekor adalah bersamaan dengan kira-kira 70 peratus populasi mamalia itu di Perak.

"Ada lima kumpulan kecil gajah dikesan menjadikan beberapa kawasan di jalan sepanjang 80 kilometer itu sebagai tempat berkeliaran.

"Pada kebiasaannya, gajah liar akan berkeliaran pada awal pagi dan lewat malam selain turut (berkeliaran) bergantung pada faktor cuaca," katanya.

Noor Alif berkata, walaupun lintasan hidupan liar dikenali sebagai 'viaduct' telah diwujudkan di Kilometer 157 Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli, namun haiwan liar termasuk gajah tetap berkeliaran.

Lintasan sepanjang 200 meter yang dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah tahun lalu itu adalah antara usaha untuk mengurangkan risiko ancaman dan gangguan gajah liar kepada pengguna jalan raya sepanjang masa.

"Lintasan itu menghubungkan Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor. Pembinaannya di kawasan ini untuk memastikan hidupan liar serta pengguna jalan raya sentiasa dalam keadaan selamat setiap hari," katanya.

Noor Alif turut mengingatkan orang ramai terutama pemandu supaya tidak cemas jika terserempak dengan haiwan liar dan tidak membunyikan hon, sebaliknya memberi laluan kepada haiwan berkenaan untuk melintas.

"Pengguna jalan raya diminta berhati-hati di kawasan yang mempunyai papan tanda lintasan hidupan liar, katanya.

"Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya tidak keluar dari kenderaan, tidak menghampiri dan membaling objek kepada hidupan liar serta merendahkan lampu kenderaan ketika waktu malam," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X