Sabtu, 16 Julai 2016 | 2:31pm

Bangun semula 36 telaga tiub atasi krisis air Kedah

BADROL Hisham Hashim (tengah) bersama Hamdan (kiri) dan Ketua Unit Geosains Kedah/Perlis/Pulau Pinang melihat tangki air ketika melawat telaga tiub di SMA As-Siddiqiah Al-Islamiah, Padang Kerasak, Naka. - Foto Amran Hamid
BADROL Hisham Hashim (tengah) bersama Hamdan (kiri) dan Ketua Unit Geosains Kedah/Perlis/Pulau Pinang melihat tangki air ketika melawat telaga tiub di SMA As-Siddiqiah Al-Islamiah, Padang Kerasak, Naka. - Foto Amran Hamid

PADANG TERAP: Sebanyak 36 telaga tiub sedia ada di Kedah yang rata-ratanya dibina sejak tahun 1979, akan dibangunkan semula oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi menangani krisis air di kawasan kritikal di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata daripada jumlah itu, lapan telaga tiub dijangka siap dinaik taraf pada Oktober depan.

Katanya, setiap telaga tiub yang dibangun semula dengan kos RM100,000 setiap satu itu dijangka dapat menampung bekalan air untuk 300 sehingga 6,000 penduduk, bergantung kepada keupayaan telaga terbabit.

"Projek ini akan dilakukan berperingkat kerana peruntukan diterima daripada pelbagai pihak iaitu kerajaan negeri, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Pejabat Parlimen Padang Terap," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas membuat lawatan tapak ke projek telaga tiub di Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah Al- Islamiah di Kampung Padang Kerasak, Naka di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JMG Kedah, Hamdan Ariffin dan Ketua Unitnya Badrol Mohammad.

Badrol Hisham berkata, lapan kawasan yang akan dibangunkan segera ialah di Pendang iaitu Kampung Hutan Keton dan Kampung Sungai Jagong serta Kampung Lanai di Sik.

Di Padang Terap pula membabitkan Kampung Sungai Long, Kampung Pong Selatan dan Felda Bukit Tembaga/Kampung Kuala Pai, manakala dua lagi di Pokok Sena iaitu di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dan Kampung Budi.

Badrol Hisham berkata, menerusi kerjasama Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan JMG, beberapa telaga tiub di Tupah dan Merbok dan Kampung Wang Perah, Jitra akan dibangunkan semula.

"Bagi Kampung Wang Perah proses menggerudi dijangka dilakukan pada Ogos depan, manakala di Tupah dan Merbok akan dilakukan secara berperingkat sebelum hujung tahun ini," katanya.

Berita Harian X