Selasa, 12 Julai 2016 | 3:55pm

6 langkah atasi isu air Kedah - MB

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Azmi Din (tiga dari kanan) selepas mesyuarat berkenaan isu bekalan air di Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Azmi Din (tiga dari kanan) selepas mesyuarat berkenaan isu bekalan air di Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menggariskan enam langkah jangka pendek yang dilihat mampu mengatasi masalah bekalan air di lima kawasan kritikal di negeri ini, menjelang akhir tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata keputusan itu membabitkan penubuhan jawatankuasa bertindak yang dipengerusikan bersama EXCO Sumber Air, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan beberapa agensi berkaitan.

"Kita juga akan mewujudkan telaga tiub dengan bantuan Jabatan Geo Sains di kawasan kritikal dan pelaksanaan program air masyarakat dikendalikan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta mempertingkatkan sistem penghantaran air.

"Bagi mengatasi aduan rakyat, sistem aduan Syarikat Air Darul Aman (SADA) dipertingkatkan dan kita akan membekalkan tong statik berkapasiti 379 liter kepada keluarga tidak berkemampuan di kawasan kritikal," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas menangani isu bekalan air di Bangunan Wisma Darulaman, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Azmi Din.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya merekod lima kawasan kritikal iaitu Merbok, Pokok Sena, Padang Terap, Baling dan Bandar Baharu, Kulim.

"Kita berharap langkah jangka pendek ini mampu menyelesaikan masalah bekalan air sementara penyelesaian jangka panjang diselesaikan dengan bantuan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Berita Harian X