Selasa, 5 Julai 2016 | 3:27pm

Lebih 5,000 naik feri dari Langkawi

FERI Langkawi RORO yang boleh memuatkan 40 kenderaan pada satu masa berlepas dari Jeti Kuala Perlis ke Pulau Langkawi dengan masa perjalanan selama 2 jam dan mendarat di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi dengan bayaran RM250 bagi setiap kenderaan. - Foto Hafizudin Mohd Safar
FERI Langkawi RORO yang boleh memuatkan 40 kenderaan pada satu masa berlepas dari Jeti Kuala Perlis ke Pulau Langkawi dengan masa perjalanan selama 2 jam dan mendarat di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi dengan bayaran RM250 bagi setiap kenderaan. - Foto Hafizudin Mohd Safar

KANGAR: Lebih 5,000 penumpang menggunakan perkhidmatan feri dari Langkawi untuk pulang beraya ke tanah besar, sejak semalam.

Pegawai Operasi Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Nurul Fakri Ahmad, berkata jumlah itu adalah mereka yang keluar dari Langkawi melalui jeti Kuah untuk ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

"Jumlah yang sama juga direkodkan masuk ke Langkawi melalui Kuala Perlis dan Kuala Kedah, sejak semalam.

"Dijangkakan 2,000 hingga 3,000 penumpang sehari bakal menggunakan perkhidmatan feri untuk keluar dan masuk ke Langkawi esok dan lusa," katanya ketika dihubungi BH, pagi tadi.

Nurul berkata, jumlah keluar masuk itu membabitkan warga tempatan yang bekerja di Langkawi dan juga penduduk Langkawi yang bekerja di tanah besar.

"Jumlah mereka yang menggunakan perkhidmatan feri ketika musim perayaan Aidilfitri adalah sedikit berbanding cuti perayaan lain atau cuti hujung minggu.

"Kebiasaannya lebih 20,000 akan masuk ke Langkawi menggunakan perkhidmatan feri. Jumlah yang sama juga akan keluar dari Langkawi menggunakan feri selepas habis bercuti.

"Jumlah yang sedikit ini hanya berlaku pada cuti hari raya. Faktor kekurangan pengguna juga disebabkan orang ramai lebih selesa pulang berhari raya menggunakan kapal terbang atau kargo," katanya.

Sementara itu, melalui perkhidmatan Langkawi Roro Ferry Services Sdn Bhd, hanya 160 kereta yang menggunakan perkhidmatan itu untuk pulang ke tanah besar, sejak semalam.

Penyelia operasinya, Shaiful Effendy Mohd Saad, berkata perkhidmatan feri Roro hanya boleh memuatkan 40 kereta pada satu masa.

"Dari Langkawi ke Kuala Perlis, kami hanya menyediakan dua feri Roro iaitu pada jam 9 pagi dan 1 tengah hari, manakala dari Kuala Perlis ke Langkawi pula hanya satu saja feri Roro disediakan, iaitu pada jam 1 tengah hari," katanya ketika ditemui BH, di Jeti Kuala Perlis, hari ini.

Katanya, permintaan jumlah kenderaan yang keluar dari Langkawi yang banyak menyebabkan pihaknya menyediakan dua feri Roro di Langkawi berbanding satu di Kuala Perlis.

Berita Harian X