Selasa, 5 Julai 2016 | 11:16am

Kedah kenal pasti sumber air bawah tanah

ALOR SETAR 22 DECEMBER 2015.(ASB241L)Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,Bekalan Air,Sumber Air dan Tenaga,Perumahan dan Pembangunan Ihsan,Datuk Badrol Hisham Hashim.NSTP/Amran Hamid
ALOR SETAR 22 DECEMBER 2015.(ASB241L)Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,Bekalan Air,Sumber Air dan Tenaga,Perumahan dan Pembangunan Ihsan,Datuk Badrol Hisham Hashim.NSTP/Amran Hamid

KUALA NERANG: Kerajaan negeri mengenal pasti beberapa kawasan di negeri ini untuk meneroka sumber air mentah bawah tanah sebagai alternatif jangka panjang mengatasi masalah bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisyam Hashim, berkata pihaknya bersama Jabatan Mineral dan Geosains sudah membuat beberapa kajian di kawasan terbabit terutama di Tupah, Merbok yang sangat berpotensi bagi mendapatkan bekalan air mentah bawah tanah.

Katanya, sumber air bawah tanah di kawasan itu dijangka dapat menyelesaikan masalah air di daerah Kuala Muda secara keseluruhan.

"Kita akan lakukan secara berperingkat kerana proses mendapatkan air bawah tanah memerlukan kos tinggi...dua tiga tempat kita sudah kenal pasti mengikut keperluan penduduk yang paling ramai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Membakar Lemang Bersama Media di Kampung Borokas di sini, lewat malam tadi.

Badrol Hisyam bagaimanapun tidak mengulas mengenai kawasan lain yang berpotensi serta peruntukan diperlukan bagi tujuan itu.

Katanya, bagi kawasan Pokok Sena dan Padang Terap, masalah tekanan air rendah akan selesai sepenuhnya apabila sebuah loji air yang kini dalam pembinaan, siap sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.

Ketika diminta mengulas isu penghantaran air yang kurang memuaskan sewaktu musim perayaan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA), Badrol Hisyam berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang dikenal pasti mengambil sikap sambil lewa dengan aduan penduduk yang mengalami gangguan bekalan.

"Kita sudah sewa lori daripada kontraktor yang dilantik untuk menghantar air kepada penduduk yang terjejas sewaktu Aidilfitri, kakitangan yang bertugas di bilik gerakan 24 jam mesti peka dengan setiap aduan dan menghantar air dengan cepat.

"Jika tidak, tindakan tatatertib akan diambil terhadap kakitangan bertugas sekiranya mereka gagal mengemukakan alasan kukuh melewatkan penghantaran," katanya.

Berita Harian X