Isnin, 4 Julai 2016 | 8:29pm

70 keluarga terjejas bekalan air menjelang Aidilfitri

KUALA NERANG: Sambutan Aidilfitri bagi lebih 300 penduduk di dua kampung di sini terjejas berikutan masalah bekalan air yang dihadapi sejak minggu lalu.

Kampung terbabit ialah Kampung Bukit Nambua dan Kampung Bukit Tembaga Utara, di sini yang membabitkan 70 keluarga sehingga memaksa penduduk mencari alternatif lain untuk mendapatkan bekalan air.

Seorang penduduk, Md Nor Hamid, 57, berkata dia terpaksa membeli air minuman di pasar raya terdekat, manakala air untuk kegunaan lain diangkut dari rumah saudara mara di kampung terdekat.

"Sebelum ini bekalan air kami terima dari jam 9 malam hingga 5 pagi, jadi dapatlah kami menadah air pada waktu malam...namun sejak minggu lalu langsung tiada bekalan air sama ada siang atau malam.

"Saya juga membeli enjin untuk meningkatkan tekanan air tetapi belum ada perubahan, kami semua sangat tertekan memandangkan lebih ramai ahli keluarga akan pulang untuk beraya.

"Masalah ini pernah diadukan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan pihaknya mencadangkan kami mencatu air, tetapi sehingga sekarang kami masih menanggung masalah sama dan bimbang ia akan berlarutan sehingga hari raya," katanya ketika ditemui di sini.

Suri rumah, Harison Ismail, 62, berkata dia terpaksa berulang alik untuk mencedok air telaga dari rumah jirannya sejak beberapa hari lalu apabila bekalan air yang ditadah di rumah habis.

"Air telaga ini sedalam 10 meter, habis lenguh badan saya mencedok dan membawa air dalam baldi...anak menantu pula terpaksa mandi di tandas awam di Kuala Nerang dengan bayaran RM1 setiap orang, manakala pakaian dihantar ke kedai dobi.

"Saya harap SADA dapat bantu kami menyalurkan air dengan segera supaya tidak menganggu aktiviti harian kerana kami juga mahu menyambut lebaran seperti orang lain," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan SADA, Ashida Abdullah, berkata gangguan bekalan air di Kampung Bukit Tembaga Utara disebabkan aliran air masuk dari Pokok Sena dan Kuala Nerang ke tangki FELDA Bukit Tembaga tidak mencukupi untuk menampung keperluan kedua-dua kawasan itu.

Bagi Kampung Bukit Nambua pula, tekanan terpaksa dikurangkan bagi memastikan penduduk di Kampung Bukit Tembaga mendapat air pada waktu tertentu.

"Tekanan air di Bukit Nambua akan ditingkatkan selepas ini bagi memastikan penduduk kampung itu mendapat air. Mereka juga boleh mendapat bekalan air yang akan dihantar oleh lori SADA setiap hari semasa Aidilfitri," katanya ketika dihubungi.

Ditanya mengenai notis gangguan bekalan yang didakwa penduduk tidak dikeluarkan SADA, Ashida berkata, ia tidak akan dikeluarkan bagi gangguan luar jangka seperti di kedua-dua kampung itu, melainkan bagi kerja berjadual untuk baik pulih atau naik taraf paip.

Berita Harian X