Rabu, 15 Jun 2016 | 6:07pm

MAPEX 2016 Perak tawar lebih 6,000 unit hartanah

IPOH: Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) Perak 2016 yang akan berlangsung selama tiga hari di Ipoh Parade di sini bermula 29 Julai depan menawarkan lebih 6,000 unit hartanah pelbagai jenis bernilai hampir RM5 bilion.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Perak, Tony Khoo Boon Chuan berkata, MAPEX kali ini juga mensasarkan kunjungan lebih 30,000 pengunjung.

Katanya, ekspo berkenaan akan disertai kira-kira 50 pemaju perumahan dari sekitar Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Sitiawan, Gerik, Cameron Highlands, Selangor dan Pulau Pinang yang akan menawarkan pelbagai jenis unit kediaman.

"Setiap unit kediaman yang ditawarkan berharga antara RM200,000 hingga RM2 juta merangkumi rumah teres, pangsapuri, rumah kedai dan banglo ia memberi peluang untuk pengunjung membuat pilihan tepat mengikut kemampuan mereka," katanya pada sidang media penganjuran acara itu di sini hari ini.

Tony berkata, ekspo akan dibuka bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Katanya, ekspo berkenaan adalah penganjuran kali kedua REHDA Perak dengan penganjuran pertama tahun lalu berjaya mengutip hasil jualan sebanyak RM20 juta daripada RM4.4 bilion nilai hartanah yang ditawarkan.

"Pengunjung yang berminat untuk memiliki rumah atau membuat pelaburan dalam hartanah diharapkan dapat menggunakan platfom ini untuk memudahkan pencarian rumah idaman mereka dan membuat perbandingan harga serta pilihan dalam variasi unit rumah yang ditawarkan," katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dijadualkan merasmikan ekspo berkenaan.

Berita Harian X