Isnin, 30 Mei 2016 | 9:44am

Pulau kosmetik bakal jadi tarikan baharu Langkawi

PENGERUSI Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, menunjukkan kertas kerja pembangunan Langkawi Cosmetic Island (LCI). - Foto Adha Ghazali
PENGERUSI Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, menunjukkan kertas kerja pembangunan Langkawi Cosmetic Island (LCI). - Foto Adha Ghazali

LANGKAWI: Langkawi bakal mempunyai satu lagi tarikan pelancongan apabila sebuah 'pulau kosmetik' dengan nilai pelaburan mencecah RM200 juta dirancang dibangunkan di pulau peranginan ini.

Pulau Kosmetik Langkawi (LCI) yang dijangka menjadi realiti dalam tempoh setahun, bakal muncul sebaris dengan French Cosmetic Valley (FCV) di Perancis dan Japan Cosmetic Centre (JCC) di Jepun.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, berkata berdasarkan perancangan, sebuah pusat kemudahan penghasilan dan pembuatan produk akan dibangunkan bagi menyokong LCI di tapak seluas kira-kira 323 hektar di Ulu Melaka, di sini.

"Kita akan turut bangunkan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D), manakala sebahagian lagi untuk penanaman herba serta bahan yang diperlukan dalam proses penghasilan. Secara umum, kita mahu Langkawi sinonim dengan industri penghasilan wangian berjenama dunia.

"FCV yang memiliki kemudahan berkeluasan 3.23 juta hektar di Paris akan menjadi panduan kita dalam membangunkan LCI," katanya.

Mengulas hasrat pembangunan LCI di Langkawi yang dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pelancaran The St Regis Hotel Langkawi, di sini, malam tadi, Mohd Rawi berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FCV, Jean Luc Ansel, mengenai pembangunan LCI.

"FCV akan menjadi penasihat kepada projek ini. Selaras namanya sebagai pulau kosmetik, kita akan turut bangunkan industri penanaman herba berkualiti tinggi seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Hempedu Bumi dan sebagainya sebagai projek hiliran, bukan sahaja di Langkawi, tetapi juga daerah lain di Kedah.

"Ia untuk menyokong peranan baharu Langkawi. Kita jangka projek ini mampu hasilkan sehingga 5,000 peluang kerja, selain pulangan besar kepada Langkawi. Lebih penting, ia akan mewujudkan satu jenama tarikan baharu, sekali gus membantu meletakkan nama pulau ini dalam peta dunia selaras hasrat kerajaan," katanya.

Berita Harian X