Isnin, 23 Mei 2016 | 6:08pm

12 rumah di Padang Serai terjejas ribut

KEADAAN rumah yang rosak akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut yang melanda petang semalam. - Foto Azahar Hashim
KEADAAN rumah yang rosak akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut yang melanda petang semalam. - Foto Azahar Hashim

KULIM: Sekurang-kurangnya 12 rumah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut yang melanda empat kampung sekitar daerah ini, petang semalam.

Kejadian kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan kebanyakan rumah terbabit rosak khususnya pada bahagian bumbung, termasuk ada yang dihempap pokok tumbang.

Pemilik kediaman, Liza Razali, 32, ketika ditemui mengesahkan sebahagian bumbung rumahnya di Kampung Teluk Sera, dekat Padang Serai, di sini, rosak akibat ditimpa dua pokok getah yang tumbang.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan dua kereta yang diletakkan di kawasan rumahnya kemek akibat dihempap pokok sama, selepas dibadai angin kencang.

"Ketika kejadian saya dan suami, Azahar Mat Isa, 32, baru pulang berniaga di pasar pagi pekan Padang Serai dan berehat di ruang tamu rumah bersama empat anak kami, sebelum ibu mentua saya, Rokiah Bakar, 63, menyedari pintu masuk rumah ditutupi daun pokok getah yang tumbang.

"Memang kami dengar bunyi guruh, tetapi tidak sangka ada pokok tumbang dan menghempap sebahagian rumah kami. Kami terus meluru keluar dan melihat dua pokok getah yang terletak kira-kira 10 meter tumbang ke arah rumah, mujur dua kereta yang ditimpa tidak rosak teruk," katanya.

Difahamkan selain kediaman Liza di Kampung Teluk Sera, tujuh lagi kediaman terjejas dilapor di Kampung Lesung, tiga di Tanjung Belit dan sebuah lagi di Bukit Sidim, dekat sini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim, Mohamad Zarir Khozali, mengesahkan menerima aduan mengenai kejadian membabitkan 12 rumah itu dan bancian kerosakan serta bantuan awal sudah disalurkan kepada mangsa.

Berita Harian X