Ahad, 22 Mei 2016 | 10:53am

Remaja hilang ditemui lemas

KUALA KURAU: Seorang pelajar tingkatan empat yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut di sini petang semalam, ditemui lemas pagi ini.

Mayat Tan Yin Cheng, 16, ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh pada jam 8.30 pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba cawangan Kuala Kurau, Tajul Arif Ahmad, berkata mangsa dikatakan terjatuh ke dalam laut di Bagan Selatan Laut, Tanjung Piandang, dekat sini pada jam 6.45 petang semalam.

"Mayat mangsa ditemui oleh anggota bomba dengan bantuan nelayan berdekatan sangkar ikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan siasatan mendapati mangsa terjatuh selepas gagal mengambil bot yang terlepas dari ikatan manakala cuaca hujan dan laut bergelora ketika kejadian.

Tajul Arif berkata, mangsa cuba diselamatkan beberapa rakannya dengan melontarkan tong dan pelampung namun gagal dicapai.

Difahamkan, mangsa membuat kerja sambilan sebagai nelayan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Berita Harian X