Selasa, 17 Mei 2016 | 3:48pm

Pembalakan di Ulu Muda bukan punca air tercemar

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

YAN: Kerajaan negeri menyangkal dakwaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kononnya terdapat aktiviti pembalakan di luar kawalan di Ulu Muda sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran air mentah di selatan Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata aktiviti pembalakan itu berlaku di kawasan dibenarkan dan tidak mengganggu kawasan tadahan air.

Katanya, selain pembalakan terdapat aktiviti pembangunan tanah untuk perladangan yang dibenarkan Jabatan Perhutanan.

"Pencemaran didakwa itu mungkin disebabkan tanah yang diratakan untuk penanaman dan ia berlaku dalam tempoh sementara jika berlaku hujan kerana air tanah itu mengalir...jika pokok sudah ditanam dalam tempoh tiga bulan, masalah itu tidak lagi timbul.

"Saya minta supaya mereka yang suka menuduh ini hentikan tindakan itu, sebaliknya beri kerjasama kepada kerajaan negeri (Kedah)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kedah di Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah Al-Halimiah di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa, mahu agensi persekutuan mengambil langkah proaktif menghentikan kegiatan pembalakan di hutan simpan Ulu Muda di sini, kerana ia merupakan kawasan tadahan sumber air untuk Selatan negeri ini dan juga Pulau Pinang.

Ahmad Bashah berkata beliau akan meminta Jabatan Perhutanan negeri dan Lembaga Sumber Air Kedah menyiasat dakwaan itu seterusnya memberi penerangan kepada pihak terbabit mengenai keadaan sebenar di sebalik dakwaan itu.

Berita Harian X