Selasa, 1 March 2016 | 2:49pm

Gerbang malam di Dataran Lembah, Kuala Kangsar

DATUK Wan Khairil Anuar Wan Ahmad.
DATUK Wan Khairil Anuar Wan Ahmad.

KUALA KANGSAR: Kawasan Dataran Lembah di sini akan dijadikan sebagai gerbang malam terutama pada malam minggu bagi membolehkan peniaga menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad berkata selain menjadi tapak yang menjual pelbagai jenis produk, gerbang malam itu juga boleh dijadikan tempat untuk persembahan tradisional.

Beliau mencadangkan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar agar menyediakan antara 20 hingga 30 tapak perniagaan di kawasan berkenaan supaya urus niaga dapat dijalankan secara teratur.

Wan Khairil Anuar yakin melalui usaha itu akan membolehkan peniaga tempatan dan penduduk sekitar menikmati limpahan ekonomi selain mengekalkan keharmonian serta ketenteraman setempat.

"Pada hari minggu dataran ini menjadi tumpuan kerana ia telah dicantikkan dan dilebarkan bagi memperindahkan lagi kawasan tepi Sungai Perak di sini," katanya ketika merasmikan Program Kayuhan Beca Melaka sempena Siri Jelajah Beca 1Malaysia di sini malam tadi.

Kayuhan yang bermula Selasa lepas itu melibatkan 19 beca dengan 37 peserta yang akan berkayuh merentasi beberapa negeri sejauh 747 kilometer dan akan berakhir di Perlis 6 Mac ini.

Selain mempromosi Melaka sebagai destinasi pelancongan, program itu juga bertujuan mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kayuhan beca paling jauh.

Sementara itu, seorang peserta termuda Zulhairi Abdullah,16, ketika ditemui berkata beliau menggunakan beca ayahnya yang telah meninggal dunia untuk menyertai program kayuhan itu.

Selain beliau, anggota keluarga lain yang turut mengambil bahagian adalah kakak dan abangnya serta bapa saudara.

"Cabaran yang saya alami untuk mengayuh beca adalah apabila mendaki bukit dan bila angin bertiup," katanya yang berasal dari Bukit Cina, Melaka. -BERNAMA

Berita Harian X