ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menyita pelbagai barangan tiruan dianggar bernilai kira-kira RM30,000 dalam serbuan di sebuah syarikat pemborong di Jalan Kampung Perak, di sini, hari ini.
Antara yang dirampas dalam operasi membabitkan 10 anggota bermula jam 12 tengah hari itu ialah jam tangan, minyak wangi, beg dan barangan kulit yang dijual secara borong menggunakan perihal dagangan palsu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Shahrudin Hamzah, berkata rampasan berkenaan adalah hasil risikan dua minggu dan siasatan mendapati syarikat berkenaan menjalankan perniagaan itu selama dua tahun, dengan bekalan diambil dari Kuala Lumpur.
"Pemilik premis berusia lingkungan 30-an itu dikatakan menjual barangan untuk diedar di sekitar pasar malam, selain jualan atas talian.
"Malah, premis terbabit hanya dibuka kepada pelanggan tetap. Ketika ini, semua barangan tiruan terbabit dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(2)(B) Akta Perihal Dagangan 2011 dan pemilik cap dagangan asal akan dipanggil untuk membuat pengesahan status sama ada barangan dijual adalah asli," katanya.