Ahad, 31 Januari 2016 | 1:10pm

8 kawasan kes denggi tertinggi dikesan di Ipoh

SETIAUSAHA Majlis Bandaraya Ipoh, Mohd Zakuan Zakaria (kanan) hadir ketika Majlis Gotong Royong Nyamuk Aedes Zon Bercham di Taman Mewah, Bercham. - Foto Mohd Nazrulaswad
SETIAUSAHA Majlis Bandaraya Ipoh, Mohd Zakuan Zakaria (kanan) hadir ketika Majlis Gotong Royong Nyamuk Aedes Zon Bercham di Taman Mewah, Bercham. - Foto Mohd Nazrulaswad

IPOH : Tidak mahu Perak tersenarai antara lima negeri tertinggi wabak denggi, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengambil inisiatif memerangi denggi secara besar-besaran.

Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria berkata, sebanyak lapan 'hot spot' di daerah ini mencatatkan jumlah kes tertinggi.

"Antara kawasan panas itu termasuk Taman Pertama mencatatkan 58 kes, Teluk Kuin (38), Taman Tasek (23), Taman Hillview (19) dan Taman Menglembu Impiana (12).

"Selain di Taman Mewah, gotong-royong membersihkan kawasan sekitar turut diadakan di Meru dan Jelapang," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Gotong-royong Nyamuk Aedes Zon Bercham di padang Taman Mewah, Bercham di sini, pagi tadi.

Gotong-royong berkenaan turut disertai kira-kira 100 penduduk setempat termasuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Bercham dan Rukun Tetangga (RT) Bercham.

Sementara itu, Ahli MBI, Lai Kong Phooi berkata, laporan mengenai 15 kes dicatatkan di Taman Bercham adalah perkara membimbangkan berikutan lokasi itu paling tinggi dicatatkan di kawasan Bercham.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan sepanjang tiga minggu ini termasuk mengedarkan risalah mengenai kesedaran berkaitan wabak denggi serta mengedarkan punjut (ubat) membunuh jentik-jentik.

Berita Harian X