Jumaat, 15 Januari 2016 | 11:51am

KR1M cawangan di Kelibang kini dibuka

NOR Saidi (dua dari kiri) meninjau harga barang selepas merasmikan KR1M di Kelibang, hari ini. - Foto Hamzah Osman
NOR Saidi (dua dari kiri) meninjau harga barang selepas merasmikan KR1M di Kelibang, hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Penduduk pelbagai golongan menyambut baik langkah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) membuka cawangan ke-173 pasar raya itu di Kelibang di sini, mulai hari ini.

Pengguna, Nor Sitiharah Noor Muhammad, 37, yang juga seorang peniaga donat, berkata pembukaan KR1M itu pasti dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

"Ya, barangan keperluan memang murah di kedai ini. Contohnya harga gula dan tepung kastard di kedai ini hampir separuh lebih murah berbanding beli di pasar raya lain.

"Gula kastard ini di pasar raya harganya RM6.30, tapi di KR1M ini harga cuma RM3.60. Selepas ini saya akan jadi pelanggan tetap di sini," katanya yang juga antara pengguna terawal yang membeli-belah di KR1M itu, pagi ini.

Suri rumah, Ros Ameera Razali, 38, dari Kampung Sungai Menghulu di sini, turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak berkaitan yang membuka KR1M di Langkawi.

NOR Said (kiri) bersama Nor Sitiharah Noor Muhammad, 37, (tengah) harga barang selepas merasmikan KR1M di Kelibang, hari ini. - Foto Hamzah Osman
NOR Said (kiri) bersama Nor Sitiharah Noor Muhammad, 37, (tengah) harga barang selepas merasmikan KR1M di Kelibang, hari ini. - Foto Hamzah Osman

"Barangan yang dijual di KR1M ini adalah murah dan berpatutan dengan kadar perbezaan maksimum antara 30 hingga 40 peratus berbanding pasar raya lain.

"Sekarang, pilihan sudah ada. Ada kedai yang jual mahal, ada yang murah. Sebagai pengguna, kita harus bijak dan peka dengan harga yang dijual pekedai," katanya yang mula berbelanja di kedai itu, hari ini.

Majlis perasmian KR1M itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan. Yang turut hadir, Ketua Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Langkawi, Shamnaziman Mohamed Taulan dan Ketua Wilayah KR1M, Asrul Affindy Hamidon.

Berita Harian X