Jumaat, 14 Julai 2017 | 12:05am
PENGUNJUNG melihat perhiasan yang terdapat di rumah hobbit. - Foto Sharul Hafiz Zam
PENGUNJUNG melihat perhiasan yang terdapat di rumah hobbit. - Foto Sharul Hafiz Zam

Rumah hobbit Changlun

CHANGLUN: Sebut sahaja perkataan hobbit ramai tahu mengenai keunikan perkampungan lelaki kerdil yang menjadi antara watak utama filem Hollywood The Lord of The Rings.

Keunikan kediaman di perkampungan fiksyen hobbit dikenali The Shire itu kini menjadi antara tarikan utama pelancong ke New Zealand yang terkenal sebagai antara lokasi penggambaran filem berkenaan.

Namun, kini anda tidak perlu lagi berkunjung ke daerah Matamata-Piako di Wikato, New Zealand, semata-mata untuk melihat sendiri keunikan itu kerana Kedah khususnya di Changlun turut mempunyai kediaman hobbit sendiri.

Kediaman hobbit itu adalah antara tarikan utama disediakan di Whimsical Houses yang terletak di Kampung Changkat Setol, di Changlun yang kini mula menjadi tarikan khususnya bagi pelancong di utara Semenanjung.

Penulis yang berkunjung sendiri ke lokasi itu tidak menyangka di sebalik jalan lama menghala ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, terdapat satu laluan kecil menuju sebuah taman indah yang di dalamnya terdiri pelbagai rumah pelik.

RUMAH hobbit di Whimsical Houses yang terletak di Kampung Changkat Setol, Changlun, Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam
RUMAH hobbit di Whimsical Houses yang terletak di Kampung Changkat Setol, Changlun, Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam

HIASAN dalaman rumah hobbit di Kampung Changkat Setol, Changlun, Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam
HIASAN dalaman rumah hobbit di Kampung Changkat Setol, Changlun, Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Malah, sebelum tiba ke destinasi, penulis turut kagum ketika menyusuri jalan kampung yang dipenuhi deretan rumah serta dusun buah-buahan yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan raya utama.

Sebaik tiba, penulis tidak dapat mengelak daripada menyaksikan binaan senget rumah berwarna oren dan ungu yang cukup indah. Uniknya, rumah berkenaan dibina secara berkembar, berbeza sekali dengan binaan condong lain seperti Menara Condong di Pisa, Itali atau Menara Condong Teluk Intan di Perak yang semuanya membabitkan binaan tunggal.

Rumah senget itu bukan tarikan tunggal di Whimsical Houses yang dibuka secara rasmi pada 1 Mei lalu, sebaliknya dua lagi rumah pelik yang turut menjadi tarikan utama pengunjung iaitu rumah hobbit dan rumah terbalik.

Tiga rumah unik digabungkan dalam satu taman ini pasti memberi kepuasan kepada pengunjung khususnya mereka yang gemar bergambar dan berselfie.

PENGUNJUNG boleh merakam gambar dan menyentuh perkakas di rumah hobbit tanpa sebarang masalah. - Foto Sharul Hafiz Zam
PENGUNJUNG boleh merakam gambar dan menyentuh perkakas di rumah hobbit tanpa sebarang masalah. - Foto Sharul Hafiz Zam

PINTU masuk ke rumah hobbit. - Foto Sharul Hafiz Zam
PINTU masuk ke rumah hobbit. - Foto Sharul Hafiz Zam

Pemiliknya, Prof Dr Mahamad Tayib, berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk pengunjung berada selama mana mereka mahu dan merakam gambar sebanyak mana diinginkan.

"Ada beberapa tempat pelancongan yang menggunakan konsep rumah pelik tidak benarkan pengunjung merakam gambar serta menyentuh perkakasan di dalamnya, tetapi di Whimsical Houses, kita memberikan mereka kepuasan," katanya.

Ditanya mengenai motif mewujudkan tarikan itu, Dr Mahamad berkata, idea itu tercetus selepas beliau melawat beberapa rumah terbalik di dalam dan luar negara, sebelum memutuskan untuk mewujudkannya di Changlun di atas tapak seluas kira-kira 0.8 hektar.

"Di Changlun, belum ada tarikan pelancongan sebegini, jadi saya rasa tidak salah untuk saya wujudkan Whimsical Houses untuk tujuan pelancongan," katanya.

Walaupun dibuka bermula jam 10 pagi lagi hingga jam 5 petang, orang ramai masih boleh menikmati Whimsical Houses pada waktu malam secara tempahan khas.

"Untuk mereka yang berminat, kita mempunyai dua rumah yang dijadikan sebagai inap desa. Dengan bayaran RM250 mereka boleh menginap seramai mana yang mereka mahu, malah kita turut menyediakan sarapan.

"Individu yang berhasrat bermalam di rumah hobbit juga boleh berbuat demikian dengan bayaran RM500 semalam," katanya.

INFO

  • Dibuka setiap hari jam 10 pagi-5 petang.
  • Bayaran RM35 (dewasa), RM15 (kanak-kanak).
  • Untuk tempahan, hubungi 019-4488197 atau 0194111195.
Berita Harian X