Sabtu, 8 Julai 2017 | 12:13am
KUETIAU dan ais batu campur (ABC) buah-buahan menjadi tarikan utama. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
KUETIAU dan ais batu campur (ABC) buah-buahan menjadi tarikan utama. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
DIJUAL dengan harga RM8 bagi pes masakan char kuetiau dan RM10 bagi pes masakan kuetiau goreng. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
DIJUAL dengan harga RM8 bagi pes masakan char kuetiau dan RM10 bagi pes masakan kuetiau goreng. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

3 francais kuetiau hasil kegagalan

KUALA KANGSAR: Walaupun pernah gagal dalam perniagaan kuetiau yang diusahakan, ia tidak mematahkan semangat pasangan suami isteri untuk kembali membangunkan perniagaan sama hingga berjaya.

Hasil kegigihan meneroka perniagaan hidangan kuetiau sejak lebih 15 tahun lalu, Mohd Shahrizan Mohamad Nazir, 36, bersama isterinya, Amalia Abd Aziz, 34, kini memiliki tiga premis yang menyajikan hidangan berkenaan sebagai menu tarikan utama.

Malah, mereka kini mempunyai tiga francais yang menggunakan jenama sama iaitu Chor Char Koay Teow (CCKT), selain mengeluarkan produk berupa pes untuk memasak hidangan berkenaan.

Menceritakan pengalamannya, Mohd Shahrizan berkata, beliau memulakan perniagaannya di tepi jalan selama lima tahun sebelum membuka restoran di Chandan Putri, di sini.

Beliau bagaimanapun mengambil keputusan berhenti seketika untuk menjadi juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka berikutan keuntungan diperoleh tidak mampu menampung kos operasi perniagaan selepas tiga tahun beroperasi.

MOHD Shahrizan bersama isterinya, Amalia Abd Aziz. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MOHD Shahrizan bersama isterinya, Amalia Abd Aziz. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

PEMANDANGAN dari luar di Restoran CCKT di persimpangan antara Jalan Raja Culan dan Jalan Raja Idris, Kuala Kangsar. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
PEMANDANGAN dari luar di Restoran CCKT di persimpangan antara Jalan Raja Culan dan Jalan Raja Idris, Kuala Kangsar. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

"Bagaimanapun, selepas dua tahun berkhidmat sebagai juruteknik, saya kembali berniaga dengan menumpang gerai di sebuah restoran di Bukit Chandan, selama empat tahun sebelum berpindah ke premis sendiri tiga tahun lalu," katanya ketika ditemui di premis utama miliknya di Jalan Raja Chulan, di sini.

Beliau berkata, biarpun pes masakan kuetiau keluarannya belum menembusi pasaran di setiap negeri, beliau berbangga apabila jenamanya bakal menembusi pasaran sebuah hotel terkemuka di Ipoh serta taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang akan dibuka tidak lama lagi, selepas memperoleh pengiktirafan sijil halal.

Mohd Shahrizan yang memiliki Diploma Kejuruteraan Elektrik Perhubungan dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, berkata perniagaannya semakin maju hasil bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp), sehingga mampu mengeluarkan produk sendiri.

Katanya, bantuan dua agensi berkenaan menerusi pembabitan beliau bersama isteri dalam Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) banyak membantu mengembangkan perniagaan mereka.

"Daripada PERDASAMA, saya dan isteri mendapat begitu banyak bimbingan keusahawanan termasuk dalam memperoleh pinjaman perniagaan melalui MARA dan SME Corp biarpun pada asalnya perniagaan ini sudah bertapak sejak lebih 15 tahun lalu menggunakan modal sendiri.

"Melalui pembabitan saya dalam persatuan itu pada Julai 2015, MARA meluluskan pinjaman RM10,000 melalui Pembiayaan Perniagaan Program PUTRA.

CCKT di Jalan Raja Chulan, Kuala Kangsar yang dibuka setiap hari kecuali Ahad. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
CCKT di Jalan Raja Chulan, Kuala Kangsar yang dibuka setiap hari kecuali Ahad. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

"Sementara, pembabitan isteri dalam program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) pada Februari tahun lalu di bawah SME Corp melayakkan beliau memperoleh RM15,000 sebagai bantuan mendirikan perusahaan di premis sendiri setelah menjalani latihan bengkel selama tiga minggu," katanya.

Mohd Shahrizan berkata, MARA juga menawarkan kepadanya seunit trak makanan bagi lebih memudahkannya beroperasi namun menolak tawaran itu buat masa ini dan hanya menerima geran bagi tujuan pelabelan yang dijangka sebanyak 10,000 unit.

Katanya, beliau sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin memakai produknya dalam mengusahakan menu berasaskan kuetiau sama ada untuk bernaung di bawah francais CCKT atau menggunakan jenama sendiri kerana gembira melihat anak bangsanya menceburi bidang keusahawanan.

"Saya tiada masalah untuk membantu anak bangsa menceburi perniagaan kerana hakikatnya kejayaan saya dan isteri pada hari ini juga didorong oleh bantuan agensi kerajaan iaitu PERDASAMA, MARA dan SME Corp," katanya.

INFO

  • Antara pencapaian, terpilih sebagai sebuah pengendali untuk menyajikan santapan buat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, tahun lalu.
  • PERDASAMA, MARA dan SME Corp banyak membantu mengembangkan perniagaan kuetiau yang diusahakan Mohd Shahrizan Mohamad Nazir dan Amalia Abd Aziz.
  • Mohd Shahrizan pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrik Perhubungan dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
Berita Harian X