Jumaat, 7 Julai 2017 | 12:20am
RUZILAH menggunakan peralatan khas untuk melicinkan papan untuk dijadikan sarung parang. - Foto Rafiqah Dahali
RUZILAH menggunakan peralatan khas untuk melicinkan papan untuk dijadikan sarung parang. - Foto Rafiqah Dahali
RUZILAH mengukur dan melukis bentuk sarung parang di atas papan. - Foto Rafiqah Dahali
RUZILAH mengukur dan melukis bentuk sarung parang di atas papan. - Foto Rafiqah Dahali
ANTARA koleksi parang dengan ukiran motif flora dan fauna yang dihasilkan Ruzilah. - Foto Rafiqah Dahali
ANTARA koleksi parang dengan ukiran motif flora dan fauna yang dihasilkan Ruzilah. - Foto Rafiqah Dahali
BENGKEL pembuatan parang yang berhadapan dengan kediaman Ruzilah. - Foto Rafiqah Dahali
BENGKEL pembuatan parang yang berhadapan dengan kediaman Ruzilah. - Foto Rafiqah Dahali

Parang berukir karya 'wanita besi'

KENINGAU: Seni pertukangan parang sangat sinonim dalam kalangan etnik di Sabah, terutama golongan lelaki.

Namun, ia tidak menghalang Ruzilah Suti, 35, membuat dan mengukir parang sejak 2006 yang diwarisi daripada bapanya, Suti Salleh, 53, apabila kini beliau banyak menghasilkan senjata itu sebagai punca rezeki.

Lebih menarik, ibu kepada empat anak itu menggunakan bakat melukis dimilikinya dalam menghasilkan ukiran parang yang menarik, selain turut mahir daripada pembuatan bilah parang, sarung hingga mengukirnya dengan pelbagai motif.

Ruzilah berkata, daripada lima beradik, hanya beliau mewarisi bakat bapanya yang pada mulanya diceburi kerana minat dan dilakukan secara sampingan bagi mengisi masa lapang.

"Atas minat yang mendalam, saya berhenti kerja sebagai kerani di sebuah kilang dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap seni penghasilan dan pengukiran parang yang kini menjadi sumber pendapatan utama keluarga," katanya.

Menceritakan detik awal terbabit dalam pembuatan parang, wanita berbangsa Dusun ini berkata, beliau menjual parang dihasilkannya di tamu mingguan di Keningau.

ANTARA parang dihasilkan Ruzilah. - Foto Rafiqah Dahali
ANTARA parang dihasilkan Ruzilah. - Foto Rafiqah Dahali

"Tidak lama selepas itu, ada wakil dari Yayasan Sabah yang melihat parang buatan saya di tamu lalu menjemput saya menyertai pameran kraftangan di Keningau, sekali gus membolehkan saya mempamer serta menjual parang yang saya hasilkan.

"Selepas mendaftar di Kraftangan Malaysia pada 2006, saya mula terbabit dalam pameran kraftangan seluruh Sabah. Saya seterusnya memperluaskan jaringan perniagaan dan lebih dikenali, selain pernah membuat demonstrasi ketika pameran Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, pada 2014.

"Kini, saya menghasilkan parang di rumah dan banyak menerima tempahan sama ada secara dalam talian mahupun mereka yang datang terus ke rumah untuk menempah senjata itu mengikut kehendak masing-masing," katanya.

Ruzilah berkata, setiap satu sarung parang mengambil masa dua hingga tiga hari untuk diukir, tertakluk kepada rekaan manakala setiap bilah parang besi dapat dihasilkan selama tiga jam dengan kebiasaannya beliau dan suami menghasilkan lima bilah besi setiap hari.

Beliau menggunakan beberapa jenis kayu untuk menghasilkan sarung parang seperti kayu malam, pine, merbau, akasia, seraya dan getah.

"Biasanya, parang biasa dibeli oleh orang awam dalam kalangan petani atau pekebun kerana ia alatan keperluan dalam kerja seharian mereka. Untuk parang berukir, biasanya dibeli sebagai cenderamata termasuk dari jabatan atau agensi kerajaan," katanya.

RUZILAH menempa besi yang dipanaskan untuk dibentuk menjadi parang. - Foto Rafiqah Dahali
RUZILAH menempa besi yang dipanaskan untuk dibentuk menjadi parang. - Foto Rafiqah Dahali

KOLEKSI parang milik Ruzilah. - Foto Rafiqah Dahali
KOLEKSI parang milik Ruzilah. - Foto Rafiqah Dahali

Ruzilah berkata, kebiasaannya beliau mengukir corak motif flora dan fauna di atas sarung parang dengan kemahiran melukis dimilikinya menjadi kelebihan sehingga memudahkan beliau mengetengahkan motif bersesuaian.

Menceritakan proses membuat parang, beliau memotong besi terlebih dahulu sebelum dipanaskan dengan api dan diketuk dengan tukul bagi memudahkan untuk membentuk parang seperti dikehendaki.

"Selepas diketuk, besi akan disejukkan dan dibersihkan dengan mesin khusus untuk dijadikan bilah parang. Bagi pembuatan sarung, saya menggunakan dua keping papan kayu yang dipotong dengan mesin khusus sebelum dilukis bentuknya, seterusnya dipotong mengikut rekaan dikehendaki.

"Selepas sarung parang siap, barulah proses mengukirnya dengan pengukir kayu dilakukan mengikut permintaan pelanggan," katanya yang menghantarnya parang sudah siap kepada pelanggan atau dihantar melalui pos.

Ruzilah kini sering memberi ceramah dan demonstrasi seni pertukangan parang kepada golongan remaja khususnya untuk pengisian kursus kemahiran buat belia anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Untuk parang biasa, Ruzilah menjualnya antara RM23 hingga RM75 mengikut ukuran inci parang, manakala parang berukir dijual antara RM100 hingga RM700 tertakluk ukuran inci dan seni ukirannya.

RUZILAH memotong besi yang siap ditanda untuk dijadikan bilah parang. - Foto Rafiqah Dahali
RUZILAH memotong besi yang siap ditanda untuk dijadikan bilah parang. - Foto Rafiqah Dahali

INFO
Ruzilah Suti

Asal: Kampung Rancangan Beliau Tiulon, Sook, Keningau.

Tarikh lahir: 23 Mac 1982

Umur: 35 tahun

Nombor telefon untuk tempahan parang: 01119551717 dan 0138791203

Facebook (untuk tempahan): https://www.facebook.com/ruzilahrozieruzilahsuti?ref>br_rs (Ruzilah Rozie Suti)

Berita Harian X