Jumaat, 7 Julai 2017 | 12:16am

Lada hitam kaya khasiat kesihatan

LADA hitam atau nama saintifiknya, piper nigrum, adalah herba yang mempunyai nilai tinggi dalam rawatan kecantikan.

Di negara ini dan Asia Tenggara, lada hitam dipercayai sudah tumbuh sejak 2,000 tahun lalu.

Digelar Kali Mirch dalam bahasa Hindi, lada hitam mempunyai kandungan vitamin C dan K, manakala kandungan kalsium membantu wanita mendapatkan diet seimbang.

Di Belanda, mereka menggelar herba ini sebagai peber, Perancis (poivre), Jerman (pfeffer), Greek (piperi), Itali (pepe), Norway (pepper), Romania (piper), Sweden (peppar) manakala Turki (biber).

Sudah berabad lamanya, masyarakat sudah menggunakan lada hitam yang dipercayai berasal dari Asia Tenggara dan China dan kawasan tropika lain dalam resipi masakan dan perubatan mereka.

Pada masa ini, Vietnam adalah pengeluar dan pengeksport terbesar di dunia bagi herba berkhasiat kesihatanmanfaat ini diikuti India, Indonesia dan Malaysia.

Herba jadi pupur wajah

Di Barat dan India, herba ini mula disedari keberkesanannya merawat kulit wajah.

Apabila herba biji ini disapu dan dijadikan pupur wajah, ia dapat merangsang peredaran darah, sekali gus memberikan banyak oksigen dan nutrisi ke pada permukaan kulit.

Selain itu, lada hitam juga berkhasiat menanggalkan sel kulit mati sehingga mempercepat pembaharuan sel kulit.

Pada masa sama, lada hitam berupaya mengurangi dan menyamar garis serta kedutan wajah kerana apabila disapu pada wajah, ia berfungsi sebagai antioksida kulit dan menanggalkan radikal bebas pada wajah.

Aura membawakan, beberapa lagi kebaikan herba istimewa ini bagi memberikan peluang anda memiliki kecantikan dengan kaedah paling mudah dan menjimatkan dari hujung rambut hingga hujung kaki.

1 Kurus dan langsing

Lada hitam membantu meningkatkan metabolisme kerana ia berupaya membakar kalori yang tidak diperlukan badan.

Jika anda mahu kurus, tidak perlu membazir membeli produk yang tidak diyakini tahap keselamatan. Apa kata, jadikan lada hitam sebagai antara menu diet anda.

Bagi mereka yang memiliki perut buncit, tidak perlu runsing kerana herba ini juga boleh membantu anda mengurangkan lemak pada bahagian perut dan angin dalam badan.

2 Kulit halus

Penggunaan lada hitam dalam kecantikan begitu meluas. Ia bertindak merawat kulit bermasalah seperti jerawat dan parut.

Bagaimanapun, pastikan penggunaan bahan ini bukanlah setiap hari kerana lada hitam memberikan rasa panas, dikhuatiri menyebabkan kulit wajah terbakar pula nanti.

Vitiligo adalah keadaan kulit yang menyebabkan kulit kehilangan pigmentasi di kawasan tertentu kulit. Apabila kulit kehilangan pigmentasi semula jadi, ia bertukar putih. Terdapat banyak rawatan yang berbeza untuk penyakit kulit ini, tetapi bahan kimia menjadi majoriti kepada penyelesaian masalah ini.

Penyelidik dari London melihat Piperine merangsang pengeluaran pigmentasi pada kulit, menyediakan alternatif semula jadi yang selamat berbanding rawatan berasaskan kimia.

3 Tangani kelemumur

Jika mengalami masalah kelemumur, lada hitam adalah rawatan yang terbaik. Ambil satu sudu teh lada dan hancurkan ke dalam mangkuk dadih, sapukan pada kulit kepala anda. Biarkan ia selama 30 minit atau lebih. Kemudian, basuh dengan air tanpa menggunakan syampu.

Anda boleh syampu keesokan harinya kerana ini akan memberikan masa yang mencukupi untuk bahan berkenaan menangani masalah kelemumur.

Ingat, jangan keterlaluan menggunakan lada hitam. Jika berlebihan, bahan ini akan membakar kulit kepala dan menyebabkan ketidakselesaan.

4 Hindari tekanan

Apabila rasa tertekan, lada hitam adalah terapi makanan yang cukup baik digunakan. Ia dikatakan herba antitekanan secara semula jadi. Bahan Piperine yang terdapat dalam herba ini merangsang sistem saraf dan mengurangkan ketegangan.

Hasilnya, keupayaan kognitif anda lebih baik selepas penggunaannya.

5 Gigi sihat

Sebelum ini, jarang kita dengar lada hitam membantu dalam meningkatkan kesihatan gigi. Ia membantu melawan kerosakan gigi dan memberikan kelegaan cepat dari sakit gigi.

Apabila anda sakit gigi, apa kata sapukan serbuk lada hitam yang ditumbuk dan letakkan pada tempat sakit.

Info: Lada hitam

  • Buah lada hitam boleh mengubati pening kepala, cirit-birit dan melawaskan kencing.
  • Daun lada hitam pula membantu merawat demam.
  • Lada hitam mempunyai rasa pedas yang kuat dan bertindak sebagai diuretik, menggalakkan tubuh badan berpeluh dan menyingkirkan toksin yang berbahaya daripada badan.
  • Pengambilan lada hitam juga membantu proses penghadaman dan pencernaan.
Berita Harian X