KUALA LUMPUR: Melihat gelagat remaja sindrom down yang begitu asyik menyelesaikan tugasan diberikan, timbul rasa kagum dengan keupayaan dan kesungguhan mereka.
Mengetepikan segala kekurangan pada diri masing-masing, mereka membuktikan kemampuan berkebun, mengemas bilik, melukis, menjahit dan apa saja tugasan yang diberikan guru pembimbing.
Itu sebahagian modul pembelajaran vokasional berintegrasi kepada kanak-kanak sindrom down yang memberi tumpuan kepada Program Latihan Asas Kerjaya (PLAK) dan bengkel terlindung dan kemudahan hidup sendiri.
Misalnya, Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) di Taman U Thant, Kuala Lumpur, sentiasa sibuk dengan aktiviti untuk remaja dan kanak-kanak sindrom down yang dihantar mengikuti latihan vokasional di situ.
Antara aktiviti mereka adalah memasak, membuat biskut iaitu kemahiran kulinari supaya mereka mampu melakukan aktiviti seperti remaja biasa, sekali gus menajamkan daya pembelajaran mereka.
Mereka juga diajar menajamkan daya tumpuan dan melengkapkan tugasan, teliti serta fokus supaya mampu berdikari, tidak lagi bergantung bantuan keluarga.
Perkembangan positif
Remaja istimewa ini juga diterapkan kemahiran hospitaliti seperti mengemas bilik, menyusun atur perabot, membasuh, menjemur dan melipat pakaian yang merangkumi rutin biasa tugas di rumah.
Mereka turut didedahkan kemahiran bercucuk tanam seperti menanam sayur-sayuran dan buah-buahan menerusi kerja tani menanam, mencangkul, menggembur dan membaja.
Bagi ibu Siti Zahiyah Ayob, 24, Siti Zauyah Abd Wahab, 60, berkata anak kedua daripada tiga beradik itu menunjukkan perkembangan positif dan semakin cekap belajar.
"Di sudut sanubari, saya bersyukur kerana anak saya semakin boleh berdikari, sekurang-kurangnya dia boleh menguruskan diri tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain.
"Cabarannya ialah dia berdepan masalah pendengaran, tetapi kami sekeluarga tidak menyisihkan dirinya lantaran dia insan istimewa sindrom down," katanya.
Mereka yang tinggal di Taman AU12 Keramat, di sini, berkata anaknya itu akan dihantar ke pusat aktiviti persatuan itu menantu atau anaknya sebelum mereka ke pejabat.
"Dari masa ke masa, dia semakin cekap melakukan kerja rumah yang biasa, mendengar arahan dan boleh diharap menjaga anak saudaranya di rumah.
"Menjaga anak istimewa ini memerlukan kesabaran kerana jiwa mereka sensitif, mendambakan perhatian, manja dan sentiasa mengharapkan apa saja keinginannya dipenuhi," katanya sambil berkongsi anaknya menggemari ayam goreng.
Siti Zauyah berkata, pembelajaran anaknya seperti kanak-kanak lain meskipun umurnya hampir ke 20 tahun, yang masa bermula jam 9 pagi hingga 4.30 petang.
"Di sini, mereka diajar menimba pengalaman dan kemahiran, berinteraksi dengan remaja lain dan paling penting mereka belajar menyesuaikan diri, berdikari dan tidak kekok belajar," katanya.
Pandai buat kerja rumah
Rakan karib Siti Zahirah, Amir Aziz, 23, dari Taman Kolam Air, berkata dia seronok mempelajari banyak perkara dan diberikan kepercayaan untuk melakukannya.
Dia yang sukar bertutur dan sebutan jelas, dibantu guru yang menjadi penterjemah bahasa, dilihat menonjolkan karakter pendiam dan hanya membalas pertanyaan selepas diajukan beberapa kali soalan sama.
"Saya suka tanam pokok, siram dan menggemburkan tanah kerana saya suka tengok tumbuhan berbuah, nanti boleh makan sama-sama.
"Sekarang, saya pandai sapu sampah, siram pokok dan kawan banyak bantu antara satu sama lain," katanya yang turut didedahkan dengan aktiviti dobi, menjahit, mengemas dan membersihkan rumah.
Sediakan kemahiran
Bagi suri rumah, Ramlah Ramli, 50, beliau tidak keberatan berjalan kaki dari projek perumahan rakyat terdekat untuk ke pusat latihan itu semata-mata mahu anak gadisnya Soffia Zamil, 15 mengikuti latihan vokasional di situ.
"Setiap selepas Soffia habis pembelajaran sekolah harian di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang, dia akan ke situ belajar seperti yang dijadualkan.
"Bagi saya, aktiviti selepas kelas sangat diperlukan kerana anak istimewa itu memperoleh kemahiran supaya potensi mereka dapat digilap, boleh berdikari dan tahu membuat kerja rumah.
"Jadi masa terluang terisi dengan aktiviti berfaedah seperti kemahiran memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan banyak lagi yang pada mulanya kita tidak jangka mereka boleh lakukan," katanya.
Setiausaha Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), Hanizan Hussin, 45, berkata kebiasaan tempoh tiga bulan adalah masa ideal untuk remaja istimewa ini mendalami kemahiran yang diajarkan kepada mereka.
Mereka di sini dibantu enam juruterapi termasuk tiga guru diajarkan kemahiran seperti pemulihan cara kerja, pertuturan, latihan tandas, fisioterapi, kemudahan perubatan dan sebagainya.
"Pusat latihan ini juga menjadi pusat penjagaan ibu bapa untuk menghantar anak dengan yuran berpatutan, didedahkan dengan teknik penjagaan supaya mereka mempunyai pengetahuan untuk mengendalikan anak istimewa mereka," katanya.
Mengikut rekod pada 2014 seramai lima pelatih dan kini terdapat 15 pelatih.
INFO
Matlamat program Kelas Latihan Vokasional:
- Memberikan khidmat bimbingan dan latihan untuk remaja sindrom down berdikari.
- Remaja dan kanak-kanak istimewa ini mendapat tempat dan sokongan daripada keluarga dan masyarakat.
- Membantu mengenal pasti kemahiran dan potensi diri supaya pelatih dapat memanfaatkan kemahiran, sekali gus menjana pendapatan sendiri.
Ciri kemasukan:
- Remaja yang dikategorikan sindrom down dinilai mengikut tahap kemampuan, kesesuaian sebelum diterima belajar.
- Berusia 18 tahun dan ke atas.
- Turut menerima remaja istimewa lain seperti lemah pembelajaran, lembam.