Ahad, 2 Julai 2017 | 12:02am
BERGAMBAR bersama keluarga yang menjadi pendorong mereka membuka kedai jahit Tailor Twin. - Foto Nur Izzati Mohamad
BERGAMBAR bersama keluarga yang menjadi pendorong mereka membuka kedai jahit Tailor Twin. - Foto Nur Izzati Mohamad

Pasangan kembar kongsi impian buka kedai jahit

NOOR Hafizah (kanan) dan Noor Hashikin mengukur baju pelanggan.- Foto Nur Izzati Mohamad
NOOR Hafizah (kanan) dan Noor Hashikin mengukur baju pelanggan.- Foto Nur Izzati Mohamad

LIMA tahun berpengalaman bidang jahitan dirasakan sudah memadai kepada pasangan kembar ini untuk memulakan perniagaan menjahit pakaian dengan menyewa sebuah ruang kedai, dua bulan lalu.

Sambutannya sangat memberangsangkan. Menggunakan jenama Tailor Twin, Noor Hafizah Muhamad dan Noor Hashikin sudah tidak menang tangan dengan tempahan, apatah lagi membuka perniagaan terbabit terlalu dekat dengan musim perayaan.

Bagaimanapun, Noor Hafizah berkata, beliau yang masih bekerja di sebuah butik tudung hanya dapat membantu adik kembarnya selepas pulang dari kerja dan cuti pada hujung minggu.

Katanya, kesemua kain yang dihantar pelanggan ke kedai mereka setiap hari akan dibawa pulang ke rumah untuk diukur dan dipotong bagi memudahkan serta mempercepatkan kerja adik kembarnya menjahit di kedai.

"Saya perlu bekerja kerana masih mahu memantapkan kemahiran yang ada disamping mahu mengumpul wang gaji untuk kegunaan kedai kami berdua apatah lagi premis ini baru sahaja dibuka dan ia memerlukan backup (sandaran).

"Kami bersyukur keluarga banyak membantu dalam usaha membuka kedai yang sudah lama kami impikan dan akhirnya ia menjadi kenyataan untuk kami memperluaskan pengalaman menjahit yang dimiliki," katanya.

NOOR Hafizah (kanan) dan Noor Hashikin menunjukkan baju raya yang siap sedia untuk diambil pelanggan. - Foto Nur Izzati Mohamad
NOOR Hafizah (kanan) dan Noor Hashikin menunjukkan baju raya yang siap sedia untuk diambil pelanggan. - Foto Nur Izzati Mohamad

Buat dua kerja sehari

Bagi Noor Hashikin, beliau mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah kedai menjahit lalu untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang baharu diceburi bersama saudara kembarnya.

"Selama ini, kami memang buat dua kerja dalam satu hari iaitu selepas sahaja bekerja, pada malamnya kami menyiapkan tempahan baju yang diminta pelanggan di rumah.

"Lama-kelamaan saya berasa hendak berhenti kerja apabila sering terkejar-kejar menyiapkan tempahan dan pada masa sama bekerja hingga menyebabkan kurang mendapat rehat yang cukup," katanya.

Noor Hashikin berkata, beliau dan Noor Hafizah sudah lama memasang impian untuk membuka premis jahitan sendiri. "Saya tidak halang kakak untuk bekerja kerana dia juga mahu belajar lebih-lebih lagi teknik jahitan yang sempurna untuk membolehkan kami memperbaiki mutu perniagaan.

"Dia akan membantu saya pada waktu malam selepas habis bekerja dan cuti setiap Ahad dengan mengukur dan memotong kain yang dihantar pelanggan," katanya.

RUANG premis perniagaan yang disewa pasangan kembar bagi memudahkan pelanggan berurusan. - Foto Nur Izzati Mohamad
RUANG premis perniagaan yang disewa pasangan kembar bagi memudahkan pelanggan berurusan. - Foto Nur Izzati Mohamad

Hadkan tempahan, jaga kualiti jahitan

Pasangan kembar ini menamatkan pengajian di Institut Kemahiran Tinggi PERDA Tech dalam jurusan Fesyen dan Jahitan pada 2012.

Mereka membeli mesin jahit sendiri dua tahun kemudian melalui gaji yang dikumpul. Ibu saudara turut membantu membuka Twin Tailors sehingga mereka mempunyai dua unit mesin jahit baju serta mesin jahit tepi untuk memperkemaskan jahitan.

Menceritakan jumlah tempahan yang diterima, Noor Hashikin berkata, menjelang hari raya puasa yang lalu, lebih 60 pasang baju raya perlu disiapkan segera dan beliau mampu menyiapkan tiga pakaian sehari.

"Berikutan itu, kami tidak mahu menerima tempahan baju raya terlalu banyak. Kami menerima tempahan mengikut kemampuan untuk disiapkan pada waktu ditetapkan.

"Kami terpaksa mengehadkan tempahan kerana nak menjaga kualiti jahitan pakaian dan mahu pelanggan puas hati dengan hasil jahitan," katanya.

Antara hasil jahitan yang boleh dijahit pasangan kembar berkenaan termasuk baju kurung Pahang, moden, pesak, tudung, jubah dan baju pengantin.

Noor Hafizah dan Noor Hashikin mereka terbabit dalam perniagaan jahitan kerana mahu menyumbang sesuatu kepada ibu dan bapa mereka yang selama ini sudah banyak membantu memberi motivasi serta sumber kewangan hingga mahir menjahit.

Info

  • Noor Hafizah dan Noor Hashikin Muhamad.
  • Umur: 24 tahun
  • Asal: Kepala Batas, Pulau Pinang
  • Lokasi Twin Tailor: Jalan Pongsu Seribu, Kepala Batas
  • Pengalaman:

    * Penuntut Jurusan Fesyen dan Jahitan di Institut Kemahiran Perda Tech.

    * Bekerja di pelbagai kedai menjahit untuk mengumpul ilmu dan memantapkan kemahiran jahitan.

    * Menyewa sebuah kedai di Pongsu Seribu untuk memulakan perniagaan jahitan pada 6 Mei 2017.

    * Menawarkan perkhidmatan menjahit baju kurung Pahang, moden, pesak, telekung, tudung dan baju pengantin.

Berita Harian X