Sabtu, 1 Julai 2017 | 12:13am

Glaukoma pencuri senyap penglihatan

KUALA LUMPUR: Glaukoma, sejenis penyakit mata progresif yang menyebabkan buta dan juga dikenali sebagai 'pencuri senyap penglihatan'.

Pesakit yang mengalaminya tidak menyedari penglihatan mereka semakin hari menjadi sempit dan akhirnya keupayaan melihat terhad kepada satu titik (sebesar syiling 20 sen) sebelum menjadi buta sepenuhnya.

Glaukoma dikenal pasti sebagai punca hilang deria penglihatan ketiga paling utama di negara ini dan penyebab buta kedua peringkat global.

PAKAR Perunding Oftalmologi dan Ketua Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Jemaima Che Hamzah. - Foto Shiraz Ali
PAKAR Perunding Oftalmologi dan Ketua Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Jemaima Che Hamzah. - Foto Shiraz Ali

Pakar Perunding Oftalmologi dan Ketua Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Jemaima Che Hamzah, berkata individu berusia 40 tahun ke atas perlu menjalani pemeriksaan tahunan bertujuan mengesan glaukoma lebih awal.

Beliau berkata, terdapat dua jenis glaukoma iaitu glaukoma terbuka dan tertutup yang terbahagi kepada primer.

Serang tanpa sebab

Keadaan ini berlaku kepada orang dewasa tanpa sebab dan sekunder iaitu akibat komplikasi penyakit seperti diabetes, radang okular, katarak serta trauma.

"Glaukoma kongenital berlaku ketika bayi dilahirkan atau berkembang dalam tahun pertama kehidupan," katanya.

Punca sebenar glaukoma tidak diketahui tetapi peningkatan tekanan intraokular (IOP) di dalam mata dikenal pasti sebagai faktor risiko penyakit ini.

Justeru, rawatan berkala menguruskan tekanan di dalam mata penting bertujuan mencegah kehilangan penglihatan menggunakan ubat titisan mata.

Walaupun berdepan risiko kebutaan, dianggarkan 80 peratus pesakit tidak mematuhi jadual rawatan harian mereka.

Kurangkan tekanan dalam mata

Bagi mengatasinya, Novartis memperkenalkan Simbrinza iaitu gabungan terapi titisan mata dalam satu botol berbanding ubat sebelum ini yang terdapat dalam pelbagai botol.

Simbrinza mengurangkan titisan mata yang diperlukan pada satu masa. Penggunaannya juga berupaya mengurangkan tekanan dalam mata daripada 27 peratus kepada 36 peratus serta mengekalkan tekanan rendah selama 24 jam.

PERUNDING Oftalmologi dan Pakar Glaukoma Hospital Mata Tun Hussein Onn, Datuk Dr Linda Teoh. - Foto Shiraz Ali
PERUNDING Oftalmologi dan Pakar Glaukoma Hospital Mata Tun Hussein Onn, Datuk Dr Linda Teoh. - Foto Shiraz Ali

Perunding Oftalmologi dan Pakar Glaukoma Hospital Mata Tun Hussein Onn, Datuk Dr Linda Teoh, berkata rawatan glaukoma merumitkan kerana ramai pesakit memerlukan dua atau lebih agen IOP.

"Penggunaan lebih daripada dua botol ubat pada masa berbeza membuatkan pesakit cenderung tidak patuh jadual pengambilan ubat ditetapkan.

"Ini menyukarkan kawalan IOP dan boleh menyebabkan kehilangan penglihatan dengan lebih pantas," katanya.

Kesan awal, rawat segera

PENGHIDAP glaukoma, Sharon Ooi Beng Poh. - Foto Shiraz Ali
PENGHIDAP glaukoma, Sharon Ooi Beng Poh. - Foto Shiraz Ali

Sementara itu, seorang penghidap glaukoma, Sharon Ooi Beng Poh, berkata dia tidak menduga mengalami masalah berkenaan kerana tidak merasai kelainan pada deria penglihatannya.

Sharon tergerak hati melakukan pemeriksaan selepas seorang temannya disahkan mengalami glaukoma.

"Saya menjalani pemeriksaan mata apabila seorang kawan memberitahu beliau mengalami glaukoma. Sebelum ini, saya tidak pernah mendengar mengenai glaukoma dan hasil pemeriksaan mengejutkan kerana penglihatan seperti biasa," katanya yang mendakwa penglihatannya tidak terjejas.

Bagaimanapun, Sharon lega kerana dapat mengesan penyakit itu lebih awal dan menjalani rawatan segera bagi mengelakkan risiko kehilangan penglihatan.

INFO

*Punca glaukoma:

-Saraf optik rosak.

*Adakah keadaan ini boleh disembuhkan?

-Tidak

-Boleh dikawal dengan ubat titis mata bagi mengurangkan tekanan.

*Risiko jika lewat atau tidak dirawat:

-Buta

*Jenis glaukoma:

1. Glaukoma sudut terbuka:

- Berlaku secara sedikit demi sedikit.

- Sukar diselamatkan selepas berada pada tahap lewat (menjadi buta).

2. Glaukoma sudut tertutup:

- Hilang penglihatan secara tiba-tiba

- Kilauan cahaya seperti pelangi di sekeliling mata.

- Sakit mata yang teruk.

- Kerap sakit kepala.

- Loya dan muntah.

3. Glaukoma kongenital

- Mata kerap berair (epifora).

- Sensitif pada cahaya (photofobia).

- Kerap mengerut kelopak mata (blefarospasma).

*Pilihan rawatan:

- Ubat topikal anti glaukoma.

- Laser

- Pembedahan (bagi kes sukar dikawal atau pengambilan ubat yang tidak teratur).

- Pemeriksaan berterusan sepanjang hayat.

*Kesan glaukoma:

- Kebimbangan.

- Kemurungan.

- Tidak dapat berdikari.

- Kualiti hidup merosot.

*Fakta nombor:

- Pemeriksaan mata berdasarkan usia:

#

#40-54 tahun-setiap 1-3 tahun.

#55-64 tahun-setiap 1-2 tahun.

#>65 tahun-setiap tahun.

- Risiko lebih tinggi-setiap tahun selepas usia 35 tahun.

TAMAT

Berita Harian X