Isnin, 26 Jun 2017 | 12:10am
KETUA Unit Vokasional dan Industri, Penjara Wanita Kluang, Abd Rashid Abdullah. - Foto Adi Safri
KETUA Unit Vokasional dan Industri, Penjara Wanita Kluang, Abd Rashid Abdullah. - Foto Adi Safri
PERKHIDMATAN tempahan baju raya yang ditawarkan di Penjara Kluang. - Foto Adi Safri
PERKHIDMATAN tempahan baju raya yang ditawarkan di Penjara Kluang. - Foto Adi Safri
BANDUAN wanita di Penjara Kluang sibuk menyiapkan tempaham baju raya.. - Foto Adi Safri
BANDUAN wanita di Penjara Kluang sibuk menyiapkan tempaham baju raya.. - Foto Adi Safri
 TEMPAHAN kuih raya yang diterima Penjara Kluang meningkat setiap tahun. - Foto Adi Safri
TEMPAHAN kuih raya yang diterima Penjara Kluang meningkat setiap tahun. - Foto Adi Safri

Aidilfitri di sebalik tirai besi

KLUANG: Kedatangan Aidilfitri kali ini bukan sahaja disambut penuh sayu oleh penghuni Penjara Wanita Kluang, malah ia pasti akan menumpahkan air mata kira-kira 200 banduan wanita di situ.

Menjalani ibadat puasa berjauhan daripada keluarga termasuk ayah, ibu, suami serta anak-anak, menyebabkan perasan sesal tidak terhingga sehingga tidak mampu ditahan lagi.

Bagi Maria, 33, (bukan nama sebenar) yang baru pertama kali melalui pengalaman berpuasa dan beraya di dalam penjara, dia sentiasa terbayang wajah ibunya serta anak-anaknya ketika menjamah hidangan berbuka puasa.

Katanya, dia yang sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi apa juga keadaan selepas dihukum penjara selama enam tahun atas kesalahan dadah akhirnya 'tewas' apabila mendengar kesyahduan azan menandakan waktu berbuka puasa.

"Saya pun tidak tahu kenapa setiap kali azan bergema, hati saya sayu dan teringat empat anak saya yang masih kecil. Selalunya, setiap kali Ramadan, saya sibuk menyediakan juadah untuk berbuka, namun kini, baru saya tahu erti kebebasan yang sebenarnya.

"Malah, saya tidak sanggup membayangkan diri apabila mendengar takbir raya bergema nanti kerana pasti air mata saya akan mengalir laju apatah lagi anak-anak saya tidak tahu saya dipenjarakan kerana neneknya memberitahu saya bekerja di Singapura," katanya sebak.

BANDUAN wanita menerima tempaha baju raya.. - Foto Adi Safri
BANDUAN wanita menerima tempaha baju raya.. - Foto Adi Safri

PEMBUATAN dan perusahaan kuih raya yang dilakukan oleh banduan wanita. - Foto Adi Safri
PEMBUATAN dan perusahaan kuih raya yang dilakukan oleh banduan wanita. - Foto Adi Safri

Seorang lagi banduan, Laila, 38, (bukan nama sebenar), yang dihukum penjara dua tahun atas kesalahan penipuan berkata, dia merindui masakan air tangan ibunya yang berusia 71 tahun menyediakan lauk kegemarannya, asam pedas ikan mayong yang akan menjadi hidangan istimewa setiap kali Ramadan tiba.

"Saya baru setahun menjalani hukuman penjara di sini namun tidak tahu mengapa setiap kali Ramadan tiba, pasti akan terbayang asam pedas ikan mayong yang mak masak, walaupun di sini pun ada masakan lauk itu, ia tak sama dengan masakan mak.

"Banduan wanita di sini, termasuk saya pasti akan menangis pilu serta dihambat emosi setiap kali tiba waktu berbuka puasa apatah lagi mengenangkan tiga anak saya bakal menghadapi peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tahun ini, saya dihambat penyesalan setiap hari kerana tiada di sisi mereka.

"Hargailah detik bersama keluarga sementara mereka masih ada, kami di sini, dihantui sesalan dan rasa bersalah yang tidak terhingga mengenangkan keluarga yang berjauhan serta ada yang sudah meninggal tanpa sempat ditemui lagi," katanya.   

Bagi Aloyah, 37, yang dijatuhi hukuman  penjara tiga tahun kerana cubaan membunuh berkata, Aidilfitri kali ini sudah pasti akan menumpahkan air mata banduan wanita seperti yang berlaku saban tahun.

Beliau yang juga johan tilawah al-Quran Penjara Malaysia berkata, dirinya serta rakan-rakan yang lain sudah pasti merindui detik berhari raya bersama anak-anak dan keluarga masing-masing.

"Paling menyentuh hati apabila mendengar takbir raya berkumandang ketika solat Aidilfitri memang air mata saya dan rakan-rakan yang lain tidak mampu ditahan lagi apabila mengenangkan orang yang tersayang tiada di sisi," katanya.

BANDUAN wanita di Penjara Kluang sibuk menyiapkan tempahan kuih sempena Aidilfitri. - Foto Adi Safri
BANDUAN wanita di Penjara Kluang sibuk menyiapkan tempahan kuih sempena Aidilfitri. - Foto Adi Safri

PERUSAHAAN kuih raya Penjara Kluang membekalkan banduan dengan kemahiran yang dimanfaatkan apabila dibebaskan kelak. - Foto Adi Safri
PERUSAHAAN kuih raya Penjara Kluang membekalkan banduan dengan kemahiran yang dimanfaatkan apabila dibebaskan kelak. - Foto Adi Safri

INFO

  • Penjara Wanita Kluang menerima tempahan pelbagai jenis kuih, kerepek serta kek sepanjang tahun tetapi tempahan menjelang Aidilfitri adalah yang paling banyak diterima.
  • Tempahan sudah ditutup dan hanya dibuka semula selepas dua minggu hari raya.
  • Untuk tempahan, hubungi Pejabat Perusahaan (IO) Penjara Kluang di talian 07-7875126; Bengkel Pastri Penjara Kluang: 07-7875200 sambungan 337, laman Facebook: Bengkel Pastri Kluang atau kunjungi Galeri Pameran Produk di Penjara Kluang.
Berita Harian X