Isnin, 26 Jun 2017 | 12:04am

Pameran susuri sejarah seni moden Malaysia

PENGUNJUNG melihat hasil seni pada Pameran Seni Negaraku di Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
PENGUNJUNG melihat hasil seni pada Pameran Seni Negaraku di Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Bagi sebuah catan tanpa tajuk, karya Datuk Ibrahim Hussein yang dihasilkan sekitar 1970-an bukan sekadar karya seni, bahkan ia adalah rakaman perkembangan sejarah seni moden.

Catan tanpa tajuk yang menjadi koleksi Muzium & Galeri Seni Asia, Universiti Malaya (UM) itu dikongsi kepada umum sempena Pameran Seni Negaraku di Galeri 1A dan Galeri Reka, Balai Seni Negara, bermula awal bulan ini sehingga akhir September nanti.

Catan yang dihasilkan ketika Ibrahim menjadi residen artis di UM itu pernah dipamerkan di Kolej Kediaman Kelimanya sebelum menjadi sebahagian koleksi tetap Galeri Seni Asia.

Catan tanpa tajuk itu secara jelas merakamkan latar 1970-an dengan lanskap dan figura menjadi antara subjek utama pelukis sepanjang perkembangan sejarah seni moden Malaysia.

Apa yang berbeza adalah kaedah persembahannya yang berganti daripada naturalistik kepada separuh abstrak dan abstrak.

Sekitar 1970-an, selain Ibrahim, ramai lagi pelukis dengan pendidikan formal dalam seni halus dari Barat pulang ke tanah air dan membawa aliran ekspresionalisme dan abstrak ekspresionisme dalam seni lukis Malaysia yang sekian lama dimonopoli realisme.

Bagaimanapun hari ini sejarah seni moden Malaysia terus berkembang dengan kemunculan karya instalasi antaranya oleh Noor Azizan Rahman Paiman menerusi To Whom This City Belong To yang dihasilkan antara tahun 2000 dan 2003.

Karya instalasi itu mempersoalkan isu, krisis, konflik, kecelaruan dan cabaran hidup masyarakat sezaman yang turut berkait dengan sejarah negara serta pengalaman peribadi.

Ia memberi makna baharu kepada bentuk dan objek harian yang diangkat menjadi simbol dan perlambangan.

Produk media massa, hasil fotografi, imejan seni bina awam, bahan kutip, lagu patriotik, slogan kerajaan, keratan akhbar dan gambar menjadi sebahagian daripada bahan pengkaryaan dalam bentuk dua dimensi, tiga dimensi, kolaj, montaj dan campuran media.

Secara keseluruhan, Pameran Seni Negaraku menghimpunkan sejumlah 88 karya dari 72 pelukis dari koleksi awam dan persendirian. Selain Ibrahim dan Noor Azizah, karya lain yang turut dipamerkan termasuklah oleh Datuk Syed Ahmad Jamal, Abdul Latiff Mohidin, Joseph Tan, Anthony Lau, Georgette Chen, Redza Piyadasa, Yeoh Jin Leng dan Abdullah Ariff.

Kesemua karya ini dihimpunkan dalam satu pameran kerana ia signifikan dengan susur masa sejarah sosial Malaysia sebagai sebuah negara selain merakamkan titik penting pensejarahan seni lukis moden Malaysia.

Selain Pameran Negaraku, sebuah lagi pameran yang turut berlangsung pada tarikh dan lokasi yang sama adalah Pameran Reka Negaraku yang tampil dengan 36 artifak seni reka serta 53 cetakan.

Kedua-dua pameran ini adalah sebahagian program Seni Negaraku yang menjadi program di bawah Inisiatif Negaraku.

Info

  • Seni Negaraku ialah program di bawah Inisiatif Negaraku..
  • Melalui Seni Negaraku ini terdapat dua pameran di Balai Seni Negara, iaitu Pameran Seni Negaraku dan Reka Negaraku.
  • Pameran Seni Negaraku menghimpunkan 88 karya daripada 72 pelukis..
  • Karya yang dipamerkan mempunyai signifikan yang tersendiri kepada negara dalam sejarah sosial Malaysia.

Berita Harian X