X
Isnin, 26 Jun 2017 | 12:00am

Penyelidik UTM cipta komponen alat dialisis buah pinggang

PROF Ahmad Fauzi menunjukkan komponen alat hemodialisis yang berjaya dicipta. - Foto Hairul Anuar
PROF Ahmad Fauzi menunjukkan komponen alat hemodialisis yang berjaya dicipta. - Foto Hairul Anuar

JOHOR BAHRU: Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mencipta komponen alat hemodialisis yang mampu mencuci darah pesakit buah pinggang sebanyak 14 liter seminit, berbanding lapan liter seminit produk yang ada di pasaran.

Peralatan dikenali Home-grown Haemodialysis System yang dibangunkan 12 penyelidik, termasuk penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) dari Pusat Penyelidikan Membran Termaju (AMTEC), UTM itu berkos rendah, selain lebih produktif kerana mempunyai kadar penyucian atau penyulingan darah lebih pantas.

Ketua Projek yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata projek berimpak tinggi mengambil masa kira-kira tiga tahun hingga dapat menghasilkan prototaip berkenaan.

Katanya, sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi, UTM bertanggungjawab menjalankan penyelidikan asas dan penyempurnaan dalam teknologi membran, selain menghasilkan peralatan dialisis pertama bagi memberi manfaat UTM dan negara.

Beliau berkata, alat itu akan menjadi komponen utama dalam mesin hemodialisis yang digunakan dalam proses mencuci darah seperti yang diguna pakai pada masa ini.

 KOMPONEN alat hemodialisis yang dihasilkan penyelidik UTM mampu mencuci darah pesakit buah pinggang sebanyak 14 liter seminit, berbanding lapan liter seminit produk yang ada di pasaran. - Foto Hairul Anuar
KOMPONEN alat hemodialisis yang dihasilkan penyelidik UTM mampu mencuci darah pesakit buah pinggang sebanyak 14 liter seminit, berbanding lapan liter seminit produk yang ada di pasaran. - Foto Hairul Anuar

Alat dialisis 100 peratus diimport

"Selama ini, alat dialisis adalah 100 peratus import. Belum ada industri atau kilang di Malaysia yang mampu menghasilkannya sendiri. Malah, kos purata untuk merawat pesakit buah pinggang ini dalam lingkungan RM25,270 setahun.

"Perangkaan menunjukkan terdapat kira-kira 38,000 pesakit buah pinggang di negara ini pada tahun lalu. Angka berkenaan berkemungkinan meningkat sehingga mencapai 43,000 orang pada akhir tahun ini.

"Justeru, tindakan segera diperlukan untuk mengimbangi dan menurunkan kos dialisis dengan membangunkan produk mencuci darah pesakit buah pinggang tempatan yang berimpak tinggi," katanya pada sidang media memperkenalkan alat itu di sini.

Prof Ahmad Fauzi berkata, pihaknya kini dalam usaha menghasilkan set lengkap sistem mesin hemodialisis buatan tempatan untuk mencuci darah dengan menggunakan bahan utama, iaitu plastik menerusi projek pembangunan membran hemodialisis berprestasi tinggi yang dijangka mengambil tempoh dua tahun.

Katanya, pembangunan alat itu secara tidak langsung mampu mengurangkan kira-kira 30 peratus kos yang terpaksa ditanggung kerajaan dalam mendapatkan rawatan mencuci darah pesakit buah pinggang.

INFO

Pesakit buah pinggang

  • Mesin dialisis penting bagi merawat buah pinggang yang kritikal iaitu 85 hingga 90 peratus tidak berfungsi

  • Kira-kira 5,000 pesakit buah pinggang meningkat setiap tahun di Malaysia
  • Satu dalam 12 rakyat Malaysia mendapat penyakit buah pinggang

Berita Harian X