Sabtu, 24 Jun 2017 | 12:12am
PROSES mengopek ikan bilis antara bahan yang akan dimasukkan untuk membuat rempeyek. - Foto Adi Safri
PROSES mengopek ikan bilis antara bahan yang akan dimasukkan untuk membuat rempeyek. - Foto Adi Safri
BANDUAN wanita perlu menyiapkan tempahan yang bersamaan kira-kira 150,000 balang rempeyek yang ditempah pelanggan pada musim Aidilfitri kali ini. - Foto Adi Safri
BANDUAN wanita perlu menyiapkan tempahan yang bersamaan kira-kira 150,000 balang rempeyek yang ditempah pelanggan pada musim Aidilfitri kali ini. - Foto Adi Safri
TEMPAHAN rempeyek perlu disiapkan seminggu sebelum Aidilfitri dan diserahkan kepada pelanggan secara berperingkat. - Foto Adi Safri
TEMPAHAN rempeyek perlu disiapkan seminggu sebelum Aidilfitri dan diserahkan kepada pelanggan secara berperingkat. - Foto Adi Safri

Penjara Wanita Kluang hasilkan tiga tan rempeyek

KLUANG: Popular dengan keenakan produk rempeyek, Penjara Wanita Kluang, di sini, menerima tempahan sebanyak 3,000 kilogram (kg) atau tiga tan rempeyek pada musim Aidilfitri kali ini.

Banduan wanita penjara berkenaan perlu menyiapkan tempahan yang bersamaan kira-kira 150,000 balang rempeyek yang ditempah pelanggan termasuk agensi kerajaan, syarikat korporat dan individu perseorangan dari seluruh negara.

Ia menjadikan Ramadan tahun ini menjadi bulan paling sibuk kepada penghuni Penjara Wanita Kluang yang tekun menyiapkan tempahan sejak awal Ramadan.

BH yang diberi kesempatan memasuki Penjara Wanita Kluang untuk meninjau kesibukan banduan menyiapkan tempahan rempeyek di sebalik tirai besi, kagum dengan kegigihan mereka.

Suasana di Bengkel Pastri penjara berkenaan umpama di kilang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan banduan wanita gigih mengacu dan menggoreng rempeyek di hadapan kuali bersaiz besar.

Malah, pembuatan rempeyek di situ, begitu teliti dengan beberapa kumpulan kecil banduan ditugaskan memilih kacang tanah serta mengopek ikan bilis yang menjadi ramuan utama kerepek tradisi itu.

PEMBUATAN dan perusahaan kuih raya yang dilakukan oleh banduan wanita untuk tempahan sempena Aidilfitri di Penjara Kluang. - Foto Adi Safri
PEMBUATAN dan perusahaan kuih raya yang dilakukan oleh banduan wanita untuk tempahan sempena Aidilfitri di Penjara Kluang. - Foto Adi Safri

PEGAWAI penjara memantau banduan wanita yang menyiapkan tempahan kuih sempena Aidilfitri di Penjara Kluang. - Foto Adi Safri
PEGAWAI penjara memantau banduan wanita yang menyiapkan tempahan kuih sempena Aidilfitri di Penjara Kluang. - Foto Adi Safri

Lapan kuali besar dikhaskan untuk mengacu dan menggoreng rempeyek manakala tiga lagi kuali besar khusus untuk pembuatan tumpi yang dilakukan mengikut tradisi lama.

Pegawai Penjara Wanita Kluang, Inspektor Siti Wahidah Wahid, berkata semua tempahan perlu disiapkan seminggu sebelum Aidilfitri dan diserahkan kepada pelanggan secara berperingkat kerana pihaknya memberi kebebasan kepada setiap pelanggan menentukan tarikh pilihan untuk mengambil tempahan.

Katanya, kerepek dihasilkan penjara itu dijual pada harga sangat berpatutan iaitu antara RM12 hingga RM24 sebalang atau mengikut kilogram; biskut raya (RM18 hingga RM25) manakala kek, RM5.

"Kami menerima tempahan paling banyak untuk rempeyek namun Penjara Wanita Kluang juga menghasilkan produk dan menerima tempahan kerepek lain seperti tumpi kacang hijau dan kacang dal; pagoda serta kacang salut," katanya.

Bukan sahaja sibuk di bengkel pastri, banduan wanita Penjara Wanita Kluang juga tidak menang tangan memenuhi tempahan baju raya, terutama baju kurung tradisi dan moden lengkap dengan perincian manik mahupun sulaman.

Malah, seramai 23 banduan wanita di Bengkel Jahitan Penjara Kluang juga menerima tempahan baju Melayu lelaki serta jahitan langsir rumah.

PEGAWAI Penjara Wanita Kluang, Inspektor Siti Wahidah Wahid. - Foto Adi Safri
PEGAWAI Penjara Wanita Kluang, Inspektor Siti Wahidah Wahid. - Foto Adi Safri

Siti Wahidah berkata, sebanyak 1,000 tempahan baju kurung termasuk moden dan baju Melayu dengan pelbagai jenis rekaan mengikut kemahuan pelanggan ditempah pada Aidilfitri kali ini.

"Seperti juga di bengkel pastri, banduan wanita yang menghasilkan baju raya pelanggan juga diawasi dua Pembantu Pegawai Latihan Vokasional di bengkel jahitan sebagai mentor dan memberi tunjuk ajar," katanya.

Beliau berkata, walaupun harga produk yang dihasilkan banduan wanita penjara berkenaan lebih murah berbanding pasaran luar, pihaknya tidak pernah berkompromi mengenai kualiti produk dihasilkan.

Katanya, selain mempunyai Persijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), produk dihasilkan Penjara Wanita Kluang juga mempunyai dua kakitangan penjara wanita yang dilantik sebagai Pegawai Penjagaan Kualiti yang memeriksa semua produk dihasilkan supaya berada pada tahap kualiti terbaik setiap masa.

Sementara itu, Ketua Unit Vokasional dan Industri Penjara Kluang, Abdul Rashid Abdullah, berkata tahun lalu, Penjara Wanita Kluang menjana RM141,178 hasil jualan pelbagai produk dan daripada jumlah itu, RM90,000 adalah daripada penjualan rempeyek.

KETUA Unit Vokasional dan Industri Penjara Kluang, Abdul Rashid Abdullah. - Foto Adi Safri
KETUA Unit Vokasional dan Industri Penjara Kluang, Abdul Rashid Abdullah. - Foto Adi Safri

"Tahun ini, kami sasarkan pendapatan sehingga RM150,000 atau lebih berikutan peningkatan tempahan pelbagai produk Penjara Wanita Kluang terutama rempeyek dan biskut raya yang lain.

"Tahun lalu, kami menerima sehingga 2,500 kg rempeyek dan tahun ini peningkatan tempahan menjangkau sehingga lebih 3,000 kg," katanya.

Beliau berkata, pendapatan bengkel jahitan tahun lalu pula merekodkan hasil RM25,000 dan tahun ini mereka menyasarkan pendapatan sebanyak RM30,000.

Abdul Rashid berkata, apa yang menarik setiap banduan yang mengikuti bengkel pastri dan bengkel jahitan akan diberi Sijil Latihan Vokasional bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan mahu pun memulakan perniagaan mereka sendiri apabila dibebaskan. 

Lengkap memakai apron, topeng mulut serta penutup rambut bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terjaga, beberapa banduan wanita di Penjara Wanita Kluang dilihat tekun 'mengacu' rempeyek ke dalam minyak panas.

Kira-kira enam kuali bersaiz besar di Bengkel Pastri penjara itu dikelilingi sehingga tiga banduan wanita setiap kuali dengan dua banduan sibuk 'mengacu' rempeyek manakala seorang lagi pantas mengangkat rempeyek yang sudah terbentuk.

PENULIS (kanan) ketika menemubual seorang banduan wanita di Penjara Kluang. - Foto Adi Safri
PENULIS (kanan) ketika menemubual seorang banduan wanita di Penjara Kluang. - Foto Adi Safri

ANTARA banduan wanita yang sibuk menyusun tempahan pakaian di Bengkel Jahitan Penjara Kluang . - Foto Adi Safri
ANTARA banduan wanita yang sibuk menyusun tempahan pakaian di Bengkel Jahitan Penjara Kluang . - Foto Adi Safri

Ia kemudian dihantar pula ke dua lagi kuali bagi membolehkan rempeyek berkenaan digoreng kali kedua sehingga garing dan warnanya sekata.

Di Bengkel Jahitan pula, puluhan baju kurung moden serta kebaya yang sudah siap dijahit tergantung indah malah ada pula yang diperincikan lagi dengan manik serta labuci seperti diminta pelanggan.

Seorang penghuni, Asmira, 37, (bukan nama sebenar) kini semakin seronok menjahit pelbagai pakaian ditempah pelanggan di bengkel jahitan berkenaan.

"Saya masuk ke sini pada 2015 tanpa pernah memegang sebatang jarum dan benang pun, namun selepas lima bulan diajar, saya sudah mampu menyiapkan pelbagai tempahan termasuk baju kurung moden, baju Melayu lelaki, jubah wanita mahupun langsir.

"Dulu mungkin saya tidak ada arah panduan untuk hidup, namun selepas mendapat ilmu menjahit ini, saya bercadang membuka kedai jahitan bagi mengubah hidup selepas selesai menjalani hukuman penjara selama lapan tahun," katanya.

PERKHIDMATAN tempahan baju raya yang dibuat oleh banduan wanita sempena Aidilfitri di Penjara Kluang. - Foto Adi Safri
PERKHIDMATAN tempahan baju raya yang dibuat oleh banduan wanita sempena Aidilfitri di Penjara Kluang. - Foto Adi Safri

Seorang lagi banduan, Maria, 33, (bukan nama sebenar) yang ditugaskan sebagai pembancuh adunan rempeyek di bengkel pastri berkata, beliau sebelum ini tidak pernah mengambil tahu mengenai penghasilan kerepek mahupun kuih tradisional.

Beliau berkata, kesibukan tugasnya bekerja sebelum ini menyebabkan beliau hanya sekadar menjadi pembeli setiap kali tiba musim perayaan.

"Namun, selepas dipenjarakan atas kesalahan dilakukan sejak lapan bulan lalu, saya mulai jatuh cinta dengan cara penghasilan kerepek, terutama rempeyek sehingga mampu menghafal semua resipi kerepek di sini dan akhirnya dilantik pembancuh adunan.

"Kesibukan di bengkel pastri setiap hari juga menyebabkan saya sudah sedikit demi sedikit melupakan kesedihan saya sejak dipenjarakan, malah ia sebenarnya terapi jiwa yang sangat menenangkan serta menginsafkan saya," katanya.

BANDUAN wanita sedang membungkus rempeyek yang ditempah pelanggan. - Foto Adi Safri
BANDUAN wanita sedang membungkus rempeyek yang ditempah pelanggan. - Foto Adi Safri

INFO
Penjara Wanita Kluang:

  • Bengkel Pastri turut menghasilkan kuih kapit termasuk perisa asli, mentega kacang dan coklat serta pelbagai biskut termasuk tat nanas, makmur serta terbaru, biskut Anaz Mikael selain kek iaitu Benjy Roll dan bahulu gulung.
  • Bagi memenuhi tempahan Aidilfitri kali ini, seramai 155 banduan wanita dibahagikan kepada dua waktu bekerja iaitu 68 orang untuk sesi pagi daripada jam 6.30 hingga 1.30 tengah hari manakala 87 lagi untuk sesi petang bermula 1.30 hingga 8.30 malam.
  • Banduan juga mampu menyiapkan pakaian perkahwinan serta pakaian seragam sekolah pada harga yang lebih murah berbanding di luar.
  • Upah menjahit baju kurung moden RM25, kebaya (RM30), baju kurung bersulam (RM30), baju Melayu (RM35) dan langsir RM4 sekeping. 
Berita Harian X