Rabu, 21 Jun 2017 | 12:03am

Enam pelajar asing seronok dalami budaya tempatan

KUALA LUMPUR: Puas dan menyeronokkan. Demikian perasaan enam remaja daripada pelbagai negara yang mengikuti program pertukaran pelajar di Malaysia selama setahun.

Dalam tempoh itu mereka melalui pelbagai pengalaman unik, bukan sahaja berpeluang mempelajari budaya masyarakat setempat, malah merasai pengalaman berpuasa.

Sebagai orang muda, pengalaman yang dilalui dan dirasai sudah tentu dianggap sebagai sesuatu yang baharu dalam hidup terutama untuk memahami corak kehidupan, budaya, agama dan bahasa yang sangat berbeza dari negara asal masing-masing.

Maria Pangalos dari Amerika Syarikat; Danilo Melis (Itali), Rury Hmaidan (Itali), Matteo Pierre Victorien Sahuc (Perancis), Chiharu Tamashiro dan Akari Tsukamoto (Jepun) yang semuanya berusia 18 tahun mengambil kesempatan berbuka puasa di Dataran Merdeka.

Maria dari Colorado, Amerika Syarikat, berkata terasa perbezaannya ketika cuba menunaikan puasa bersama keluarga angkatnya.

"Mereka bukan sahaja mengajar berpuasa, malah saya dibawa ke masjid dan berpeluang belajar cara menunaikan solat tarawih.

"Memang seronok kerana ini pertama kali saya cuba berpuasa dan walaupun letih kerana dahaga, berjaya juga bertahan sehingga waktu Maghrib," katanya.

(DARI kiri) Rury Hmaidan, Danilo Melis.Maria Pagalos, Matteo Pierre Victorien Sahuc, Chiharu Tamashiro, Jamain Bauer dan Akari Tsukamoto.
(DARI kiri) Rury Hmaidan, Danilo Melis.Maria Pagalos, Matteo Pierre Victorien Sahuc, Chiharu Tamashiro, Jamain Bauer dan Akari Tsukamoto.

 M Ramachandran.
M Ramachandran.

Bawa misi keamanan

Bercerita mengenai pengalaman yang ditimba sejak setahun lalu, Maria mengakui, kehadirannya adalah sebahagian daripada misi keamanan untuk merapatkan jurang antara warga Amerika Syarikat dan masyarakat tempatan.

"Kita sedia maklum dengan isu perkauman, Islamphobia termasuk kemelut pelantikan Presiden Amerika Syarikat yang baharu menimbulkan pelbagai spekulasi dan perspektif negatif.

"Saya memainkan peranan sebagai input untuk berkongsi maklumat dan mengubah persepsi masyarakat di sini yang tidak semua warga Amerika bermasalah.

"Kami juga cintakan keamanan dan saya sebarkan impak positif supaya semua di sini dapat berkongsi cerita memandangkan rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk dan berbilang kaum," katanya.

MERASAI pengalaman berbuka bersama-sama umat Islam.
MERASAI pengalaman berbuka bersama-sama umat Islam.

Sedih masa untuk balik semakin hampir

Bagi Danilo yang berasal dari Itali, pada mulanya memang sukar membiasakan diri untuk berpuasa kerana tubuh berasa letih dan tekak sentiasa dahaga.

"Bagaimanapun, kami berazam untuk berpuasa dan berbuka bersama-sama untuk mencuba sendiri dan timba pengalaman bagaimana umat Islam berpuasa.

"Seronok bila dapat berbuka puasa beramai-ramai di sini kerana selain meriah, kami dapat merasakan kemesraan dan keramahan masyarakat di sini walaupun tidak kenal antara satu sama lain.

"Disebabkan sudah lama berada di sini, memang sedih apabila masa untuk pulang semakin hampir," katanya.

Danilo berkata, sepanjang di Malaysia, dia berpeluang menjelajah ke Langkawi di Kedah dan Pulau Perhentian di Terengganu.

"Negara ini memiliki keunikannya yang tersendiri dan lautnya juga amat indah. Saya pasti akan rindukan Malaysia apabila pulang nanti," katanya.

PELAJAR asing memakai busana tradisional.
PELAJAR asing memakai busana tradisional.

Kagum sikap hormat menghormati

Sementara itu, Rury berkata, program pertukaran pelajar ini banyak memberi makna yang tersendiri, malah dia kagum dengan sifat hormat-menghormati di antara guru dan pelajar.

"Jujur cakap, sikap toleransi dan rasa hormat pelajar terhadap guru masih tinggi berbanding cara kami di luar negara.

"Bagaimanapun, ada sedikit rasa kurang selesa kerana masih perlu memakai pakaian seragam kerana di sana kami bebas memakai apa sahaja.

"Begitu juga dengan alatan elektronik seperti telefon pintar misalnya adalah dilarang di sekolah, sedangkan kami dibenarkan untuk menggunakannya semasa waktu sekolah di luar negara," katanya.

Membantu tingkat sifat sabar

Chiharu yang berasal dari Tokyo, Jepun pula menggunakan pendekatan tidur sepanjang hari bagi mengurangkan rasa lapar ketika berpuasa.

"Bila jam menunjukkan jam 5 petang, barulah saya mula rasa gembira kerana tahu masa berbuka sudah hampir.

"Penat bukan sebab lapar, cuma tekak terasa kering. Apapun, pengalaman berpuasa banyak membantu meningkatkan kesabaran," katanya.

MELAWAT masjid Putrajaya.
MELAWAT masjid Putrajaya.

INFO

  • Keenam-enam pelajar ini ditempatkan di sekolah menengah kebangsaan yang terpilih di Kuala Lumpur selama setahun untuk mempelajari budaya, seni dan sistem pendidikan di Malaysia.

  • Kesemuanya tinggal bersama keluarga angkat yang terdiri daripada berbilang kaum dan selain berpuasa, mereka juga menyambut perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali.

  • Kesemua pelajar bernaung di bawah Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia (cawangan Ampang) dan pelbagai aktiviti dilakukan bagi mengisi masa terluang.

  • Perkelahan di air terjun, lawatan ke muzium dan percutian ke Pulau Perhentian antara aktiviti yang disusun untuk pelajar.

  • Maria Pangalos (Amerika Syarikat), Danilo Melis (Itali), Rury Hmaidan (Itali), Matteo Pierre Victorien Sahuc (Perancis), Chiharu Tamashiro dan Akari Tsukamoto (Jepun).
Berita Harian X