Rabu, 21 Jun 2017 | 12:00am
AMIR bersama kanak-kanak Syria.
AMIR bersama kanak-kanak Syria.

Kanak-kanak pelarian Syria dahagakan ilmu

SUKARELAWAN bersama anak-anak pelarian Syria di depan bangunan tadika MACS.
SUKARELAWAN bersama anak-anak pelarian Syria di depan bangunan tadika MACS.

KETIKA anak kecil berumur lima dan enam tahun di negara kita menghadiri kelas prasekolah, anak pelarian Syria di Irbid, Jordan, hanya bermain di tepi jalan berhampiran kawasan penempatan mereka untuk menghabiskan masa yang ada.

Apabila ditanya kenapa tidak ke sekolah, mudah sahaja jawapan yang diberi, keluarga tidak mampu membayar yuran tadika. Kita maklum, hidup di negara orang bukan mudah dan itulah hakikat dilalui kanak-kanak pelarian ini.

Tambahan, dengan perkembangan semasa yang memperlihatkan lebih ramai rakyat Syria di Aleppo yang kini sedang dipindahkan ke kawasan selamat berikutan krisis melanda bandar mereka.

Kita dapat membayangkan nasib bakal menimpa lebih ramai kanak-kanak pelarian dari Syria yang terpaksa mengikut ibu bapa serta keluarga berdagang ke negara yang sedia menerima mereka untuk melalui pengalaman sama seperti saudara mereka di Jordan ini.

Lemah asas agama

Menyelami perasaan kanak-kanak itu, pelajar Malaysia dan Arab di Universiti Sains dan Teknologi Jordan bersatu hati menubuhkan sekolah tadika bagi memberi peluang mereka menimba ilmu pengetahuan berbanding bermain di jalanan.

Ketika menilai pengetahuan agama mereka dengan bertanyakan 'siapakah tuhan kita', 'siapa nabi kita?', 'berapa rukun iman' dan 'tahukah cara mengambil wuduk?', timbul perasaan sedih menyedari lemahnya pengetahuan mereka mengenai asas agama.

Mungkin ini disebabkan mereka tidak mendapat pendidikan formal, dan pendidikan di rumah pula tidak begitu baik akibat ibu bapa yang sibuk mengerah tenaga menyara keluarga di tanah asing.

Kumpul derma

Sememangnya ini adalah masalah besar untuk jangka panjang kerana kita semua tahu umur lima dan enam tahun adalah tempoh penting untuk pembinaan diri serta pembelajaran sebagaimana kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Jika mereka tidak belajar agama sejak kecil lagi, berkemungkinan besar akan terus hilang keprihatinan terhadap agama apabila masuk ke sekolah rendah dan sekolah menengah nanti.

Kami bermula dengan mengumpul derma dalam kalangan pelajar Malaysia di Jordan, kemudian menyewa sebuah tempat yang sesuai untuk dijadikan tadika.

Pada masa sama, kami menganjurkan forum dengan menjemput keluarga pelarian Syria yang dikenali untuk berkongsi kesusahan hidup sebagai pelarian dan masalah pendidikan yang dialami anak mereka.

Ramai yang terkedu apabila mendengar cerita keluarga pelarian Syria Abu Muhammad, yang semasa di Syria adalah orang yang dihormati, anaknya semua cemerlang di sekolah, hidup mereka juga senang kerana mempunyai rumah besar serta tanah yang luas.

Tadika percuma

Namun, apabila perang bermula di kawasan mereka, segala yang dimiliki terpaksa ditinggalkan kerana berhijrah ke Jordan.

Sekarang, mereka hidup sebagai pelarian, setiap hari bersusah payah mencari ihsan untuk makanan dan sewa rumah manakala anak sulung mereka terpaksa meninggalkan sekolah untuk membantu mencari wang menyara keluarga.

Pada 2013, dengan kerjasama Teach For The Needs, kami berjaya membuka sebuah tadika percuma untuk kanak-kanak Syria di Irbid, Jordan yang dinamakan Tadika Arab Malaysia yang mengajar asas agama seperti akidah, ibadat, akhlak dan al-Quran. Pelajar turut diajar mata pelajaran akademik seperti Bahasa Arab, Inggeris dan Matematik.

Dapat hak belajar

Syukur kepada Allah SWT, tadika percuma kami mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pelarian Syria di Jordan. Mereka gembira kerana anak mereka sekarang mendapat hak untuk menerima didikan agama.

Alhamdulillah, sehingga sekarang Tadika Arab Malaysia masih beroperasi dan memberi bimbingan kepada anak pelarian Syria. Malah, kira-kira 100 kanak-kanak Syria telah menamatkan pengajian mereka dan memasuki sekolah rendah.

Bagi sesi 2016, terdapat 80 kanak-kanak pelarian Syria yang belajar Tadika Arab Malaysia, 40 pada sesi pagi dan 40 sesi petang. Masih ramai ibu bapa yang datang untuk mendaftar anak mereka tetapi kami terpaksa menolak kerana kekurangan sumber yang ada.

Oleh itu, masih ramai anak berumur lima dan enam tahun yang tidak mendapat hak untuk pendidikan formal. Diharap lebih ramai umat Islam sedar masalah pendidikan ini dan berusaha sedaya upaya membantu kanak-kanak pelarian Syria.

INFO

  • Tadika Arab Malaysia ditubuhkan pelajar Malaysia di Jordan di bawah gerakan Malaysian Arabian Cultural Society.

  • Selain Tadika Arab Malaysia, kumpulan pelajar Malaysia di Jordan turut membuka sebuah sekolah rendah dinamakan Sekolah Arab Malaysia Qumaim.

  • Pembelajaran adalah percuma untuk anak pelarian Syria.

Penulis adalah Pengerusi Malaysian Arabian Cultural Society

Berita Harian X