Selasa, 20 Jun 2017 | 12:01am
FAUZIAH tidak melatah walaupun dituduh 'bersajak' ketika menyanyi. - Foto Zunnur Al Shafiq
FAUZIAH tidak melatah walaupun dituduh 'bersajak' ketika menyanyi. - Foto Zunnur Al Shafiq

Fauziah Latiff mengaku 'pancit'

DI era 1990-an, nama Fauziah Latiff, 47, 'meletup' di persada muzik tanah air gara-gara lagu berbaur romantis nyanyiannya mendapat tempat di hati peminat, sekali gus layak digelar 'Ratu Lagu Cinta'.

Rangkaian lagu hit Fauziah atau lebih mesra disapa Jee, seperti Teratai Layu Di Tasik Madu, Tiada Noktah Cinta dan Dia sering bermain di bibir anak muda ketika itu.

Namun, kebelakangan ini usikan peminat akan kemampuan vokalnya, malah turut dikecam seperti 'bersajak' ketika menyanyi, membuatkannya lebih berhati-hati.

Menyedari reaksi negatif peminat terhadap kemampuan vokalnya sekarang, Jee segera memohon maaf kepada peminat dan lebih bersemangat membaiki diri terutama ketika membuat persembahan.

"Jauh sekali saya berkecil hati dan tidak melatah dengan kecaman peminat terbabit. Saya sedar dan mengaku memang ada terdengar dakwaan mengenai kemampuan vokal saya sejak beberapa tahun lalu. Tetapi, saya tidak kisah mahupun marah kerana setiap orang ada pendapat masing-masing.

PENYANYI yang layak digelar 'Ratu Lagu Cinta', Fauziah Latiff. - Foto Saifullizan Tamadi
PENYANYI yang layak digelar 'Ratu Lagu Cinta', Fauziah Latiff. - Foto Saifullizan Tamadi

"Sebagai penyanyi, kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Kalau ada yang berasakan persembahan saya tidak memuaskan hati mereka, saya minta maaf. Saya juga manusia biasa dan semua artis akan melaluinya," katanya kepada BH.

Biarpun dilempar tuduhan vokal 'pancit', Jee masih ligat menerima tawaran menyanyi sehingga jadualnya penuh sepanjang tahun ini.

Meletakkan situasi itu sebagai rezeki atas sokongan dan perhatian yang diberi peminat sejak dulu lagi, Jee berkongsi perkembangan terbaru dirinya yang bakal menerbitkan single.

"Kalau ada yang tak berpuas hati atau tak suka dengan persembahan saya, saya okay saja.

"Insya-Allah, selepas Aidilfitri saya menantikan terbitnya single terbaharu. Sebelum ini, saya tampil dengan single Takdir Cintaku yang menjadi runut bunyi bagi drama Seindah Takdir Cinta.

"Kepada yang menanti, InsyaAllah saya akan beri yang terbaik buat mereka. Lagu terbaru ini akan mengimbau kembali era muzik 1990-an yang turut mengadunkan muzik urban," katanya.

FAUZIAH masih ligat menerima tawaran menyanyi walaupun dilempar tuduhan vokal 'pancit'. - Foto Saifullizan Tamadi
FAUZIAH masih ligat menerima tawaran menyanyi walaupun dilempar tuduhan vokal 'pancit'. - Foto Saifullizan Tamadi

Melihat perkembangan muzik tempatan dengan bakat baharu lahir bak cendawan tumbuh selepas hujan, Jee bagaimanapun tidak menganggapnya sebagai penghalang untuk terus berkarya.

Menyedari irama era 1990-an yang menaikkan namanya dulu kembali digilai, Jee merasakan ini masa yang sesuai untuk dirinya kembali menawan hati peminat.

"Saya kena tingkatkan stamina untuk memperbaiki mutu vokal dengan memperbanyakkan senaman dan latihan vokal.

"Sebagai artis yang berpengalaman, saya tak perlukan kelas vokal. Ini kerana saya bergantung kepada pengalaman dan apa yang saya timba selama tiga dekad sebagai penyanyi.

"Industri sekarang bagus dengan adanya orang baharu. Mereka menceriakan lagi industri muzik kita. Ramai bakat baharu boleh menyanyi. Itu menjadikan industri kita lebih warna," katanya.

Anggun mengenakan hijab ketika sesi fotografi bersama BH di ibu negara, baru-baru ini, memberikan kelainan kepada wanita yang tidak dimamah usia ini. Ada keinginan untuk berhijab, Jee tidak menolak kekal dengan penampilan itu, suatu hari nanti.

FAUZIAH berkongsi perkembangan terbaru dirinya yang bakal menerbitkan single. - Foto Saifullizan Tamadi
FAUZIAH berkongsi perkembangan terbaru dirinya yang bakal menerbitkan single. - Foto Saifullizan Tamadi

Biodata:
Nama sebenar : Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff
Nama komersial : Fauziah Latiff atau Jee
Tarikh lahir : 5 Disember 1970
Asal : Teluk Intan, Perak
Karier : Penyanyi dan pelakon
Tahun aktif : Sejak 1986 hingga sekarang
Album : Digamit Memori (1988)
- Kau Merubah Segalanya (1989)
- Kini (1990)
- Tiada Noktah Cinta (1991)
- Hua Xi Ya (1992)
- Gubahan Rindu Puisi Syahdu (1992)
- Epilog Memori Gelita (1993)
- Apa Sebenarnya (1994)
- Sahabat (1995)
- Jee '98 (1998)
- Yang Lebih Kau Cinta...Jee (2001)
- Pesona (2006).

Berita Harian X