Isnin, 19 Jun 2017 | 12:01am
REMY tidak keberatan untuk berkongsi mengenai tarikh perkahwinannya nanti. - Foto Shiraz Ali
REMY tidak keberatan untuk berkongsi mengenai tarikh perkahwinannya nanti. - Foto Shiraz Ali

Gadis Pahang tunang Remy Ishak

KUALA LUMPUR: Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba tersebar gambar pelakon kacak, Remy Ishak, melangsungkan pertunangan dengan kekasihnya yang juga ahli perniagaan, Ezza atau Roszaliza Yusof, 33, pada 31 Mei lalu.

Majlis berkenaan diadakan di kediaman keluarga perempuan di Pahang.

Mengadakan majlis terbabit secara tertutup dengan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat, Remy, yang berkawan rapat dengan Ezza sejak tiga tahun lalu, mengaku beliau ada alasan tersendiri untuk berbuat demikian.

"Saya mengakui agak bersikap konservatif dalam hal ini. Lagipun, Islam sendiri tidak menggalakkan umatnya untuk menguar-uarkan mengenai pertunangan.

"Hanya keluarga terdekat yang saya maklumkan ketika itu. Majlis pertunangan juga adalah peringkat seterusnya selepas berkawan. Kita sendiri tidak tahu ujian yang mungkin melanda sepanjang tempoh pertunangan. Namun, sekiranya sudah ada tarikhnya nanti, saya tidak keberatan untuk berkongsi mengenai perkahwinan kami," katanya.

Menyentuh soal tarikh hari bersejarah mereka berdua untuk disatukan sebagai suami isteri, Remy berkata, kedua-dua pihak belum menetapkan sebarang tarikh.

REMY melangsungkan pertunangan dengan Ezza pada 31 Mei lalu.
REMY melangsungkan pertunangan dengan Ezza pada 31 Mei lalu.

Begitupun, aktor ini memberikan bayangan beliau bersedia melangsungkan pernikahan selepas selesai tayangan filem terbaru lakonannya, Pulang.

Filem terbabit yang diterbitkan oleh Primeworks Studios dijangka tayangannya pada tahun depan. Selain dirinya, filem arahan Kabir Bhatia itu turut menampilkan Puteri Aishah, Datuk Jalaluddin Hassan dan Azrel Ismail.

"Pulang ialah naskhah kedua terbesar membabitkan saya selepas filem 29 Februari. Jadi, sekarang saya sedang fokus kepada filem berkenaan. Selepas Pulang ditayangkan, kemudian barulah saya akan fikirkan mengenai perkahwinan," katanya.

Kata Remy juga, ketika majlis pertunangan dilangsungkan, keluarga kedua-dua pihak juga tidak meletakkan sebarang tempoh tertentu sebelum beliau dan Ezza diijabkabulkan.

Malah katanya, mereka juga tidak pernah mendesak supaya dirinya dan wanita terbabit mempercepatkan majlis pernikahan.

"Saya juga ada sasaran sendiri dalam kerjaya yang belum capai. Begitu juga dengan tunang yang sememangnya sibuk dengan urusan perniagaan. Jadi, kedua-dua cenderung ke arah kerja, yang menjadikan kami tidak terlalu memikirkan soal perkahwinan buat masa ini," katanya.

REMY bersedia untuk melangsungkan pernikahan selepas selesai tayangan filem terbaru lakonannya, Pulang. - Foto Rohanis Shukri
REMY bersedia untuk melangsungkan pernikahan selepas selesai tayangan filem terbaru lakonannya, Pulang. - Foto Rohanis Shukri

Malah, melihat kepada jadual kerja Remy, aktor ini sememangnya sibuk dengan kerjayanya. Terbaru, Remy bakal terbang ke Jakarta, Indonesia, untuk menjalani penggambaran supertelefilem berjudul Dosa bagi siaran Astro First.

Menerusi naskhah terbabit, beliau bergandingan dengan pelakon dari Singapura, Hisyam Hamid, dan bintang Malaysia yang kini berpangkalan di Indonesia, Ashraf Sinclair. Dosa juga menampilkan komposer, penyanyi dan pelakon berpengalaman, Datuk M Nasir.

Selain itu, Remy baru selesai menjalani penggambaran projek istimewa sempena Hari Kebangsaan berjudul #AnakMerdeka yang menampilkan kerjasamanya dengan barisan pengarah berkaliber seperti Kabir, Syamil Othman dan Bernard Chauly.

"Apabila usia sudah meningkat, sememangnya saya mengharapkan terus diberikan watak yang lebih bagus. Bahkan, jika diikutkan di Hollywood juga, kematangan seseorang pelakon dapat dilihat pada usianya apabila menjangkau 40 tahun.

"Tetapi, perubahan ini sukar untuk diterima dalam industri seni negara kita, terutama untuk drama TV. Namun untuk filem, ia sedikit berbeza apabila pengarah dan produser masih memberikan kepercayaan atas pengalaman luas seseorang pelakon," katanya.

REMY mempunyai alasan tersendiri untuk mengadakan majlis pertunangan secara tertutup. - Foto Roslin Mat Tahir
REMY mempunyai alasan tersendiri untuk mengadakan majlis pertunangan secara tertutup. - Foto Roslin Mat Tahir

Bakat baharu kena fokus

Sementara itu, melihat kehadiran ramai bakat baharu dalam industri seni, Remy tidak melihat kemunculan mereka sebagai cabaran buatnya, sebaliknya berharap bakat pelapis berkenaan lebih fokus kepada kerja berbanding niat untuk mencari populariti semata-mata.

"Pelakon baharu harus lebih fokus kepada lakonan masing-masing, kerana kebanyakan mereka juga bukannya datang daripada sekolah perfileman. Jadi, mereka tidak mendapat panduan yang betul ketika memasuki dunia seni. Sebahagiannya melangkah ke alam lakonan untuk mengejar populariti.

"Malah, perubahan daripada teknik filem kepada digital sekarang juga menyebabkan pelakon baharu kurang menghargai industri. Sekiranya mereka tidak membina kemahiran dan terus meningkatkan pengetahuan, sebaliknya hanya ketika di set penggambaran baru ingin belajar, ia akan menyusahkan keseluruhan produksi," katanya.

REMY dan tunangnya, Ezza.
REMY dan tunangnya, Ezza.

INFO: Remy Ishak

  • Remy mula mencipta nama menerusi drama rantaian Nur Kasih pada tahun 2009.

  • Dua kali dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) iaitu pada edisi ke-23 dan 24.

  • Memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem, Anugerah Skrin ke-15 menerusi filem Cun!

  • Terbaru, Remy akan muncul dengan filem Kau Takdirku yang akan ditayangkan pada 7 September depan. Ia turut dibintangi Ezzaty Abdullah, Bront Palarae, Aisya Hasnaa dan Megan Tan.
Berita Harian X